DATUK Siti Nurhaliza dinasihatkan doktor supaya berehat panjang dan pihak pengurusannya memastikan segala rakaman program televisyen membabitkan Siti seperti untuk Aidilfitri disiapkan secepatnya.
Itulah cerita terbaru yang SS dengar mengenai artis terkenal ini yang akan menyambut ulang tahun ke-3 perkahwinannya pada Ogos ini. Tertanya-tanya juga SS mengapa? Satu-satunya jawapan yang berlegar di kepala SS ialah penyanyi itu berbadan dua.SS rasa alasan itu logik. Maklumlah, selepas lebih dua tahun menanti kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumahtangganya dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K, tentulah Siti mahu memastikan kandungannya dalam keadaan selamat. Lebih-lebih lagi ketika awal kandungan.
Apabila rakan SS ditugaskan membuat liputan Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM17) baru-baru ini, apa lagi, SS berpesan kepadanya bertanya Siti mengenai cerita ini. Kata SS kepadanya, cerita itu daripada sumber yang agak sahih dan boleh dipercayai.
Rakan SS yang bujang trang tang tang itu senyum sampai ke telinga kerana jika benarlah perkhabaran itu, dia tumpang gembira maklum saja dia peminat nombor satu Siti yang setiap detik mendoakan yang terbaik buat artis kesayangannya itu.
Tiba-tiba rakan SS rasa macam dia pulak yang mengandung kerana tidak semena-mena teringin hendak makan cendol pulut. Rakan SS ini memang 'over'.
Dah jenis kuat makan, orang lain mengandung dia yang loya tekak. Dia ini pantang nampak, bukannya berpantang makan.
Kebetulan pada malam anugerah itu, Siti membuat persembahan bersama rakan baiknya, Kris Dayanti. Bila ada Siti, tentulah kakak ipar merangkap pengurusnya, Rozie ada sekali.
Jadi sebaik saja ternampak kelibat Rozie di depan mata, rakan SS pun teruslah menariknya ke tepi untuk mengetahui benarkah Siti hamil. Seperti mana Siti, Rozie pun sudah biasa sangat dengan pertanyaan itu kerana rakan SS dapat tahu cerita daripada sumber yang agak sahih dan boleh dipercayai.
Alahai, jawapan yang terkeluar daripada mulut Rozie menghampakan rakan SS kerana katanya Siti tak mengandung pun. Dia tahu sangat keadaan adik iparnya kerana katanya, mereka berkongsi hari 'keuzuran' yang sama.
Rakan SS ini jenis tak tahu mengalah, dia cuba pulak dapatkan Siti. Manalah tahu cerita lain keluar daripada sepasang bibirnya yang cantik itu, apatah lagi ketika di temu bual Siti mengadu yang dia sebenarnya demam panas dan segera hendak balik berehat. Selepas menyanyi, tekaknya semakin perit dan pedih.
Jawapannya sama juga. Katanya, dia tak mengandung dan dia demam biasa mungkin kurang berehat. Tetapi Siti sempat minta rakan SS mendoakan dia segera hamil.
Itu sudah tentu, bukan saja rakan SS akan mendoakannya, malah semua peminatnya. Jika Siti dan suaminya serta kaum keluarganya tidak sabar menanti kehadiran ahli baru dalam keluarga mereka, peminat lagilah tak sabar.
Hendak juga tengok si kecil itu nanti rupa siapa. Adakah akan mewarisi wajah jelita dan memiliki suara semerdu ibunya ataupun mirip si ayah yang kacak dan bergaya.
Apapun, Siti janganlah bersedih. Adalah hikmah dan paling penting peminat sentiasa mendoakan kebahagiaan Siti dan suami. Jangan difikirkan sangat, pasti Allah akan memberikan yang terbaik buat hamba-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan