JIKA diukur pada pencapaiannya sebagai pelakon, nama Juliana Sophie Johari Evans atau Juliana Evans masih lagi hijau. Apatah lagi hanya beberapa drama dan filem cereka pernah dibintanginya. Namun, populariti yang diraih si jelita muda ini boleh dikatakan agak pantas.
Namun, kini dia semakin menjadi buah mulut wartawan selepas hubungan percintaannya dengan vokalis Bunkface, Sam, terbongkar.
Enggan bersikap hipokrit, Juliana berkata tiada niat di hatinya untuk menjaja gosip cinta. Cuma, katanya memang benar dia dan Sam menjalinkan hubungan istimewa.
"Saya tak suka berbohong. Jadi apabila ditanya wartawan mengenai hubungan istimewa kami itu, saya mengaku sajalah.
"Tiada salahnya bercakap benar bukan? Lagipun, sekarang kami memang bercinta dan menyenangi antara satu sama lain. Kami saling memahami dan menyokong antara satu sama lain.
"Malah, saya pun tahu Bunkface semakin popular dan Sam juga ada ramai peminat remaja termasuk gadis. Saya tak pernah cemburu yang lebih-lebih atau tergugat kerana kami saling mempercayai diri masing-masing. Kalau cemburu manja-manja tu biasalah. Begitu juga dengan dia.
"Bagi kami, dalam hubungan, kepercayaan sangat penting. Justeru, sama ada saya mahupun Sam, kami tidak mengongkong antara satu sama lain kerana kami berada dalam dunia hiburan. Banyak cabaran yang ada dan kami sudah biasa dengan gosip. Kami juga tahu jadual dan kesibukan masing-masing," katanya.
Berusia 21 tahun, cara pemikiran Juliana nyata sangat matang. Butir bicara yang dituturkan anak bongsu daripada tiga beradik ini seperti wanita dewasa. Juliana tidak suka berdolak-dalik.
Menurutnya, asalkan tidak terlalu peribadi, dia sedia menjawab dan memberi kerjasama sebaiknya. Namun, jika mahu bercerita lanjut soal cinta, rasanya tak perlu. Kata Juliana, tujuannya mengakui mengenai percintaan itu bukan untuk meraih publisiti, tetapi biarlah berpada-pada.
"Saya mengaku supaya apabila kami keluar bersama, tidaklah orang cakap macam-macam. Saya senang dengan Sam kerana dia seorang yang kelakar dan memahami. Dia tidak pernah mengongkong dan faham minat saya. Setakat ini, hubungan kami masih baik.
"Keluarga juga tahu hubungan kami," katanya yang baru selesai menjayakan penggambaran drama Sayang Cendana untuk slot Lagenda di TV3. Malah, kini Juliana sibuk mengacarakan program ERA TV untuk Astro sebanyak 23 episod.
Ditanya mengenai dirinya yang dilabel 'liar' selepas tragedi kelab hiburan dikunjunginya diserbu polis beberapa bulan lalu bersama dua lagi selebriti terkenal, Juliana berkata walaupun isu itu sudah lama, mulut orang tidak mampu ditutup.
Baginya, biarlah apa mereka hendak kata kerana apabila sudah penat, mereka akan berhenti sendiri.
"Dalam soal ini, apa yang pasti saya tahu yang mana baik dan buruk. Keluarga juga tahu. Kedatangan saya di kelab hiburan itu adalah secara kebetulan. Malah, apabila polis mahukan sampel air kencing, saya tak teragak-agak memberi kerjasama yang diminta.
"Selain itu, sudah terbukti keputusan saya negatif dan semuanya selesai. Apapun, perkara yang berlaku itu tidak membuatkan saya jadi fobia. Ini kerana, saya tidak buat salah dan semua yang berlaku itu dianggap pengalaman dalam hidup," katanya.
Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Sunway University College ini lagi, dia sentiasa diajar untuk berfikiran positif kerana hidup perlu diteruskan seperti biasa.
Menyentuh soal pendidikannya, Juliana berkata, dia baru selesai menduduki peperiksaan semester pengajiannya hujung April lalu.
Katanya, dia sudah membuat yang terbaik dan selebih diserahkan pada ketentuan Tuhan, yang penting usaha.
"Saya sudah memberikan tumpuan secukupnya terhadap pelajaran walaupun ketika itu sibuk dengan berlakon. Dalam soal lakonan pula, saya terima tawaran kerana memikirkan ia rezeki. Jadi, untuk itu perlulah bijak membahagikan masa dengan baik.
"Apapun, pelajaran tetap utama pada diri saya dan berlakon adalah minat. Saya yakin boleh membahagikan masa dan sebelum menghadapi peperiksaan itu pun, saya sentiasa membuat ulang kaji," katanya yang akan membintangi filem Halilintar tidak lama lagi.
PROFIL
NAMA: Juliana Sophie Johari Evans
PANGGILAN: Juliana Evans
TARIKH LAHIR: 5 Julai 1989
USIA: 21 tahun
ASAL: Petaling Jaya, Selangor
DARAH CAMPURAN: British (bapa) dan Melayu (ibu)
KELUARGA: Anak bongsu daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Masih mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di Sunway University College.
IKLAN KOMERSIAL: Canon (ketika berusia lapan bulan), Kentucky Fried Chicken (KFC), Fruitella, Nokia, Johnson & Johnson, Play Dough, Dutch Lady dan Clean & Clear
PROGRAM TV: Remaja (TV3)
DRAMA: Kami The Series (8TV) dan Kasut Tumit Tinggi (Astro)
FILEM: Kami The Movies dan Hooperz
Tiada ulasan:
Catat Ulasan