Turki arah kayu bahtera Nabi Nuh dibawa keluar disiasat
GAMBAR fail menunjukkan rak kayu yang didakwa sebahagian daripada bahtera Nabi Nuh yang ditemui di dalam lereng Gunung Ararat, Turki.
ANKARA - Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turki, Ertugrul Gunay mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengetahui bagaimana serpihan kayu yang didakwa daripada bahtera Nabi Nuh berjaya dibawa keluar dari negara itu ke China, lapor media semalam.
"Bagaimanakah objek-objek itu boleh berada di sana (China)?," kata Ertugrul.
Kenyataan itu disiarkan oleh akhbar Milliyet semalam.
Satu ekspedisi dari China dilaporkan telah mempamerkan serpihan kayu yang didakwa daripada bahtera Nabi Nuh pada satu sidang media pada awal minggu ini di Hong Kong.
Kumpulan ekspedisi yang mengandungi 15 anggota tersebut mendakwa serpihan itu ditemui di dalam lereng Gunung Ararat pada ketinggian 4,000 meter di timur Turki.
Pada sidang akhbar yang diadakan pada awal minggu ini, salah seorang anggota ekspedisi itu yang merupakan seorang pembikin filem dokumentari, Yeung Wing-cheung berkata pihaknya 99.99 peratus yakin telah menemui bahtera Nabi Nuh.
Kumpulan ekspedisi berkenaan mendakwa telah menemui spesimen kayu dan ujian penentuan tarikh karbon mendapati serpihan kayu yang ditemui di Gunung Ararat itu berusia 4,800 tahun iaitu tarikh yang dianggap berlakunya banjir besar di zaman Nabi Nuh.
Menurut kitab Injil, banjir besar itu berlaku selepas banyak kejahatan berlaku di bumi menyebabkan Nabi Nuh diminta membina bahtera dan membawa bersamanya sepasang haiwan daripada setiap spesies.
Ertugrul berkata, siasatan itu juga bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai kehadiran seorang pegawai Turki pada sidang akhbar penemuan bahtera Nabi Nuh di Hong Kong. Pegawai itu hadir tanpa kebenaran daripada pemerintah Turki.
Namun, menteri tersebut menegaskan, beliau menyokong penemuan bahtera Nabi Nuh itu di Turki dengan memujinya sebagai satu bonus untuk sektor pelancongan. - AFP
Belgium haramkan purdah
BRUSSELS 30 April - Parlimen Belgium meluluskan usul mengharamkan pemakaian burqa dan purdah di khalayak ramai dengan mendapat sokongan hampir sebulat suara, dalam tindakan pertama seumpamanya di Eropah.Namun, langkah itu dikutuk oleh para pemimpin Islam, seorang biskop Roman Katolik dan pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International.
Di dewan rendah Parlimen semalam, 136 anggota mengundi untuk menguatkuasakan pengharaman di seluruh negara terhadap pakaian atau tudung yang tidak membolehkan identiti pemakainya dikenal pasti, termasuklah purdah dan burqa.
Hanya dua anggota dewan berkecuali dan tidak ada seorang pun yang menentang usul tersebut.
Pengharaman itu akan dikuatkuasakan di jalan-jalan, taman awam dan gelanggang sukan atau bangunan 'yang disediakan untuk kegunaan awam atau untuk memberikan perkhidmatan' kepada orang awam, menurut teks rang undang-undang itu.
Pengecualian mungkin dibenarkan untuk acara tertentu seperti pesta jika pihak berkuasa perbandaran meluluskannya.
Mereka yang melanggar undang-undang baru itu boleh didenda antara 15 hingga 25 euro (RM64 hingga RM109) dan/atau penjara sehingga tujuh hari.
Naib Presiden Majlis Eksekutif Islam Belgium, Isabelle Praille menyifatkan pengharaman itu sebagai contoh berbahaya yang boleh membuka jalan untuk mengharamkan pakaian lain.
"Hari ini purdah, besok tudung, kemudian serban orang Sikh pula menjadi sasaran dan mungkin suatu hari nanti skirt mini.
"Memakai purdah atau burqa adalah sebahagian kebebasan individu yang dilindungi oleh undang-undang hak asasi Belgium, Eropah dan antarabangsa," katanya.
Amnesty International turut mengutuk pengharaman tersebut dalam satu kenyataan semalam.
"Pengharaman menyeluruh terhadap pakaian yang menutup muka akan melanggar hak-hak kebebasan bersuara dan beragama bagi wanita yang memakai burqa atau purdah," kata pakar Amnesty mengenai diskriminasi di Eropah, John Dalhuisen.
Rang undang-undang itu juga perlu diluluskan oleh dewan tinggi Parlimen yang mempunyai tempoh dua minggu untuk membangkitkan sebarang bantahan terhadapnya.
Namun, berikutan kejatuhan kerajaan Perdana Menteri, Yves Leterme pada 22 April lalu, Belgium dijangka menghadapi pilihan raya awal yang boleh menyebabkan kelulusan tergendala selama beberapa bulan. - AFP
Lelaki bakar diri selepas serang tadika
BEIJING 30 April - Seorang lelaki membakar diri sampai mati selepas mencederakan lima kanak-kanak dengan tukul besi di sebuah tadika hari ini, dalam serangan ketiga ke atas kanak-kanak sekolah di China dalam tempoh tiga hari.Penyerang menggunakan sebuah motosikal untuk meruntuhkan pintu pagar tadika di bandar Weifang, wilayah Shandong, sebelum memukul seorang guru yang cuba menghalangnya dan kemudian menggunakan tukul untuk menyerang kanak-kanak, lapor agensi berita Xinhua.
Serangan itu berlaku hanya sehari selepas 28 kanak-kanak tadika dan tiga orang dewasa cedera ditikam di bandar Taixing, wilayah Jiangsu, dan merupakan serangan kelima seumpamanya dalam tempoh sebulan.
Keganasan melibatkan kanak-kanak di negara ini berlaku ketika kerajaan China memperketatkan kawalan keselamatan menjelang pembukaan gilang-gemilang Ekspo Dunia di pusat kewangannya, Shanghai, malam ini.
Dua kanak-kanak sempat ditarik daripada lelaki itu selepas dia menyimbah petrol dan membakar dirinya, lapor Xinhua. Semua murid yang cedera itu kini berada dalam keadaan stabil.
Semalam, seorang jurujual berusia 46 tahun menikam 28 kanak-kanak, dua guru dan seorang pengawal keselamatan di tadika di Taixing, hanya beberapa jam perjalanan dari Shanghai.
Motif penyerang itu adalah untuk 'membalas dendam terhadap masyarakat', lapor Xinhua hari ini.
Serangan yang semakin menjadi-jadi melibatkan kanak-kanak sekolah di negara ini menimbulkan kebimbangan di kalangan pakar bahawa publisiti mengenainya boleh mendorong orang lain untuk melakukan serangan serupa.
Orang ramai juga mendesak supaya langkah lebih ketat diambil bagi melindungi kanak-kanak sekolah di negara ini, di mana kebanyakan pasangan hanya mempunyai seorang anak.
Rabu lalu, seorang doktor menjalani hukuman mati kerana membunuh lapan kanak-kanak sebuah sekolah di wilayah Fujian pada Mac lalu.
Pada petang dia menjalani hukuman mati, 18 pelajar dan seorang guru cedera ditikam oleh seorang guru lain di sebuah sekolah rendah di wilayah Guangdong, selatan China. - Reuters
Ekspo Dunia 2010 bermula
BANDAR raya Shanghai bergemerlapan dengan cahaya bunga api sempena upacara perasmian Ekspo Dunia 2010, malam tadi. - AFP |
SHANGHAI 30 April - Tokoh- tokoh kenamaan dan pemimpin dunia berhimpun di bandar raya ini hari ini untuk menyaksikan upcara perasmian Ekspo Dunia 2010 yang berlangsung dengan gilang-gemilang, malam ini.
Ekspo yang berlangsung selama enam bulan itu bertujuan memaparkan kehebatan Shanghai sebagai pusat perdagangan China, tetapi turut membawa kepada kawalan keselamatan ketat dan tindakan ke atas penentang politik.
Presiden China, Hu Jintao mendahului senarai para pemimpin dunia dan tokoh kenamaan lain yang menghadiri upacara pembukaan bagi acara terbesar di negara ini selepas Sukan Olimpik Beijing 2008.
Pemimpin lain yang hadir ialah Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy; Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Jose Manuel Barroso.
Ekspo tersebut dibuka kepada orang ramai mulai esok dan dijangka menarik 70 juta pengunjung ke pavilion-pavilion dari hampir 200 negara sebelum berakhir pada Oktober ini.
Media Hong Kong melaporkan, antara selebriti yang membuat persembahan termasuk pelakon Jackie Chan, pemain piano Lang Lang, bintang opera Andrea Bocelli dan aktres Halle Berry.
Kawalan keselamatan di bandar raya ini diperketatkan lagi hari ini. Tapak Ekspo yang terletak di tepi sungai ditutup kepada orang ramai, kecuali sebilangan kecil pekerja, wartawan, dan tokoh kenamaan sementara sebuah helikopter berlegar-legar di ruang udara.
Anggota polis ditempatkan di setiap sudut jalan di kawasan itu sementara pasukan keselamatan di hotel dan stesen kereta api bawah tanah menghendaki semua beg dan bungkusan melalui tapisan X-ray.
China membelanjakan sebanyak 28.6 bilion yuan (RM13.44 bilion) untuk menganjurkan Ekspo itu, dan berbilion-bilion yuan lagi untuk kerja menaikkan taraf bandar raya ini yang mempunyai 20 juta penduduk.
Bangunan dicat baru serta lebuh raya, landasan kereta api bawah tanah dan terminal lapangan terbang baru semuanya mengisytiharkan status baru China sebagai gergasi perindustrian yang moden dan semakin kaya. - AP
BAGAI SYURGA
GAMBAR yang dirakamkan pada 28 April lalu menunjukkan Air Terjun Iguacu dari sebelah Brazil. - AFP |
Air Terjun Iguacu yang memisahkan Brazil dan Argentina, begitu memukau walau dilihat melalui gambar apatah lagi bagi mereka yang menyaksikan sendiri keindahan alam semulajadi ini.
Tidak hairanlah ia terpilih sebagai antara finalis pencarian Tujuh Keajaiban Baru Semulajadi, memandangkan kedudukannya yang unik dan selain terdiri dari 275 air terjun sepanjang 2.7 kilometer yang menggamit pengunjung untuk datang berkunjung.
Air terjun ini dikongsi oleh Taman Negara Iguazu di Argentina dan Taman Negara Iguacu di Brazil yang mana kedua-duanya diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia, masing-masing pada 1984 dan 1987.