Harapan tinggi pelajar AF8
PUAS HATI... (berdiri dari kiri) Alif, Ema dan Shah, (duduk dari kiri) Nad dan Anum gembira dengan single masing-masing ciptaan sepenuhnya Edry. |
SUDAH menjadi lumrah, setiap individu memerlukan peluang kedua untuk meniup kembali semangat yang sedikit pudar apabila peluang pertama itu gagal untuk menyerlah.
Biarpun mereka tersingkir dari Akademi Fantasi musim kelapan (AF8), namun itu bukanlah noktah pada impian mereka.
Sebaliknya, mereka bersyukur dan berbangga walaupun tidak dapat muncul di pentas final, mereka menjadi generasi AF pertama yang keluar dengan single sendiri hasil ciptaan Edry Abdul Halim.
Barangkali ia merupakan formula baru yang diketengahkan pihak Astro untuk memastikan `bintang’ ciptaan mereka boleh terus bernafas di persada seni tanah.
Tidak lari daripada kesilapan
Shah atau nama sebenar Muhammed Shahril Mohd. Saleh Hussien, 26, mengakui bahawa setiap orang tidak lari daripada melakukan kesilapan.
“Tetapi saya percaya setiap orang berhak mendapat peluang kedua,” kata jejaka yang berasal dari Klang, Selangor ini.
Menjadi pelajar pertama yang tersingkir memberi sedikit kelebihan kepada Shah untuk mempelajari sedikit sebanyak selok belok industri hiburan tanah air.
“Saya banyak belajar cara untuk berhadapan dengan orang ramai terutamanya pihak media dan peminat,” jelasnya.
Single Shah yang bertajuk Bernafas Lagi akan mula diperdengarkan di corong-corong radio tidak lama lagi.
“Saya cukup berpuas hati dengan lagu itu kerana mengikut genre yang saya minati iaitu pop rock dan berbangga mempunyai lagu sendiri,” katanya.
Nad akur pilihan pengundi
Gadis genit berlesung pipit, Nad atau Nadia Emilia Roselan, 22, akur dengan keputusan pengundi yang tidak memilihnya untuk beraksi di pentas akhir AF8.
Vokalis kumpulan indie The Nadias’ itu bagaimanapun berpuas hati kerana mampu bertahan sehingga minggu keenam.
“Cukup bertuah kerana saya boleh bertahan lebih lama berbanding rakan-rakan lain yang tersingkir awal,” jelas anak kelahiran Kelang itu.
Pelajar yang masih menuntut di Universiti Multimedia Melaka itu mengakui bahawa lagu yang diterimanya untuk persembahan konsert mingguan AF memang tidak kena dengan jiwanya yang menggemari lagu indie.
“Bagaimana pun saya telah buat yang terbaik namun nasib tidak menyebelahi saya dan saya redha dengan pilihan pengundi,” katanya yang bakal muncul dengan single berjudul Aku Sudah Merdeka.
Lima tahun lagi
Peserta kedua yang disingkirkan daripada AF, Ema menyasarkan lima tahun lagi untuk menggenggam sekurang-kurangnya satu anugerah pengiktirafan penglibatannya dalam industri seni tanah air.
Pemilik nama Erma Suhaimi, 21, berkata, darah seni yang diwarisi daripada ahli keluarganya yang merupakan penyanyi lagu-lagu rakyat Sabah cukup sebati dalam dirinya.
“Keluarga saya sering diundang untuk menyanyikan lagu-lagu rakyat di majlis keramaian yang sering diadakan di kampung saya di Kundasang.
“Saya harap, suatu hari nanti saya mampu untuk bersaing dengan penyanyi lain yang ada dalam industri kita ini,” kata kakak kepada Adira yang masih lagi bersaing di AF untuk merebut tiket ke pentas final.
Berbicara mengenai singlenya yang bergenrekan alternatif rock ciptaan Edry, Ema memberitahu bahawa dirinya tidak mempunyai keyakinan tinggi untuk melantunkan lagu itu.
Namun, bait-bait lirik lagu yang cukup puitis mengembalikan keyakinan Ema untuk merakamkan lagu itu sebaik mungkin.
Alif tunggu masa
Pelajar lelaki paling paling muda untuk musim AF kali ini, Muhammad Alif Kadim, 19 atau lebih mesra dengan disapa Alif, terpaksa menyusun jadual seninya kerana masih menuntut di Aswara.
Penuntut jurusan vokal bagi peringkat diploma itu, masih lagi mempunyai baki selama dua tahun untuk menghabiskan pengajiannya sebelum fokus sepenuhnya dalam bidang seni.
“Buat masa ini saya perlu membahagikan masa untuk kuliah dan aktiviti seni.
“Tinggal dua tahun sahaja lagi untuk saya habiskan pengajian dan selepas itu barulah saya tumpukan pada nyanyian atau bidang seni lain,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu.
Kini, anak kelahiran Cheras itu boleh berbangga kerana singlenya yang berkonsepkan pop jazz bertajuk Bangun Semula telah pun ke udara di rangkaian radio milik AMP Radio Network seperti Era, FM dan XFM.
Anum dan impian
Kekuatan vokal serak-serak basah milik Anum membuatkan Edry selaku komposer mendapat ilham untuk mencipta sebuah lagu rock yang menepati cita rasa Anum dan para peminatnya.
Pemilik nama sebenar, Dayang Nor Anum Arjuna Aharun, 19 berkata, single yang dicipta khas untuknya itu benar-benar menguji vokalnya.
“Jujur saya katakan, pada mulanya saya lebih tertarik dengan lagu yang diberikan kepada Ema.
“Namun setelah acap kali mendengar dan menyanyikan lagu ini, saya mula menyukainya kerana ia cukup hebat dan mencabar,” kata gadis yang berasal daripada Tawau itu.
Dalam pada itu, Anum turut menyimpan hasrat untuk bergelar penyanyi rock wanita tersohor seperti kehebatan Ratu Rock Malaysia, Ella.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan