Selamat Datang


I made this widget at MyFlashFetish.com.

assalamualaikum

assalamualaikum
SELAMAT DATANG KE BLOG MY ZARIEL.BLOGSPOT.COM/ WELCOME TO MYZARIEL.BLOGSPOT.COM

Sabtu, 8 Mei 2010

Ibu dorong kejayaan dalam bidang seni

POPULARITI yang dikecapi tidak pernah sekali-kali membuatkan dua bintang muda berbakat besar dalam arena lakonan, Liyana Jasmay, 22, dan Wan Hafizol Wan Omar atau Fizo Omar, 25, melupai insan yang melahir dan membesarkan mereka sejak tapak kaki sebesar dua jari.

pix_middle
sebelum - selepas


Bagi mereka, ibulah permaisuri hati yang menjadi pengubat duka lara. Malah tiada penawar yang lebih sejuk daripada senyuman dan titis kasih seorang ibu. Kasih ibu juga seharum bunga seperti mana lirik lagu Mawar Putih Untuk Mama nyanyian Datuk Sharifah Aini.


Sebagai anak bongsu daripada empat beradik, Liyana atau nama timanganya Nana, sangat rapat dengan keluarga terutama bonda tercinta, Habsah Simpon, 53.


Beza usia Nana dengan kakak keduanya enam tahun dan kelahirannya membuatkan seluruh tumpuan terarah kepadanya. Kediaman keluarganya yang sudah lama tidak kedengaran tangisan bayi tiba-tiba meriah dan ceria dengan kelahiran Nana.


Bercerita mengenai ibunya, kata Nana mamanya seorang yang 'cool' dan kemesraan mereka seperti rakan baik yang boleh bertukar cerita, gelak dan tawa bersama.


"Mama sangat istimewa dan 'sporting'. Tetapi mama ni 'busy body', semua hal saya dia nak tahu. Sebenarnya saya tak kisah kerana mengambil tahu semua perkara mengenai anak-anaknya sudah menjadi tugas dan tanggungjawab seorang ibu. Busy body seorang ibu terhadap anaknya tentunya bagi memastikan anaknya selamat.


"Antara saya dan mama tiada rahsia. Mama kata, dia pun pernah muda dan faham keinginan orang muda macam mana. Jadi mama tidaklah terlalu mengongkong. Saya masih ada ruang untuk diri sendiri. Memilih kerjaya lakonan, saya sangat memerlukan sokongan keluarga dan bertuah sangat dapat mama yang memahami minat serta cita-cita saya.


"Bukan semua ibu bapa boleh faham dengan impian anak, apatah lagi yang memilih jalan menjadi anak seni. Saya berlakon sejak usia sembilan, tetapi mungkin ketika itu tidak ramai yang perasaan sehinggalah saya berlakon dalam filem Castello bersama Rosyam Nor yang diarahkan Bade Azmi.


"Mamalah yang menemani saya sepanjang masa dan sampai sekarang saya selesa bersama mama. Saya ini pula cepat emosi dan hati mudah tersentuh, orang senilah katanya. Lalu mama mengajar saya belajar memaafkan sesiapa saja kerana kita tak tahu yang mana lawan atau kawan. Kata mama sebelum tidur maafkan semua orang agar hari esok yang bakal kita lalui akan lebih ceria, tenang dan membahagiakan," katanya.

Sebaga remaja, mesti ada cerita yang hanya boleh dikongsi bersama rakan sebaya.


"Saya suka berkongsi cerita 'orang muda' dengan kawan dan sepupu. Usia macam ini seronok berangan-angan. Tetapi selalunya mama dapat tahu juga cerita kami," katanya sambil ketawa.


Sempena Hari Ibu yang akan disambut esok (Ahad), Nana mendoakan ibunya dipanjangkan usia dan dalam peliharaan Allah selalu. Biasanya setiap tahun Nana bersama abang dan kakaknya, Juzaily, 34, Faradilla, 30, dan Edriana, 28, akan membuat 'surprise' buat ibu mereka.


"Apa pun aktiviti yang dirancang pada hari itu yang penting kami sekeluarga dapat berkumpul," katanya.

Habsah pula berkata, sejak kecil Nana suka bercakap. Sampai kena suruh dia berhenti bercakap, itu pun boleh tahan seminit dua. Selepas itu dia akan kepoh balik.


"Sebagai anak bongsu semua orang manja dan dengar cakapnya, sebab itulah agaknya dia banyak cakap. Waktu umur sembilan tahun sudah berlakon dalam drama Si Lembik arahan Aznil Nawawi. Dia mewarisi darah seni daripada abang sulung saya aktif berlakon teater zaman mudanya. Pelawak Ali Mamak pula sepupu saya.


"Sejak kecil hingga sekarang berlakon Nana sudah biasa dengan sepak terajang dunia seni dan kerana itu juga dia tidak pernah terkena kejutan budaya. Apabila Nana memilih kerjaya lakonan, saya nasihatkannya supaya berfikiran terbuka dan berhati kental.


"Hendak jadi anak seni tidak boleh lembik dan cepat putus asa. Pedulikan apa orang kata asalkan keluarga tahu siapa dia. Maafkan semua orang yang bercakap pasal kita. Itu saja yang boleh mengubat kesedihan kerana bukan semua sukakan kita.


"Sejak kecil lagi 'she wants to be a star'. Oleh itu saya selalu ingatkan Nana dia tidak boleh jadi seperti remaja lain. Jika dia suka melepak tidak tentu hala, lupakan saja cita-citanya untuk menjadi bintang. Pun begitu, saya dan bapanya faham dia masih muda yang ingin berkawan.


"Tak adalah kami kongkong dia sangat. Nana boleh berkawan tetapi semua kawannya mesti berjumpanya di rumah. Saya kenal semua kawannya yang kebanyakannya bekas kawan sekolah. Kawannya juga faham mereka tidak boleh sesuka hati mengajak Nana keluar.


"Harapan saya Nana menjadi anak yang baik, mendengar nasihat, solehah, berjaya di dunia dan akhirat. Sentiasa menjaga adab sopan dan tingkah laku serta dipertemukan jodoh dengan orang yang baik-baik," katanya.


Jika Nana anak bongsu kesayangan keluarga, Fizo pun apa kurangnya. Meskipun sudah layak bergelar suami, dia masih berkepit dengan ibunya, Hasnah Jidin, 50. Balik ke rumah, ibunya dicari dulu.


Hubungan dua beranak itu bertambah erat sejak ibu bapanya bercerai hampir enam tahun lalu. Tiga lagi adik-beradik Fizo - Wan Zaman, 27, Wan Nooraliana, 19, dan Wan Noornini Adila, 16. Masing-masing bekerja dan belajar di Perak. Sekarang Fizo tinggal berdua bersama ibunya di Bukit Antarabangsa.


"Sudah lama bercadang mengajak emak, abang dan adik tinggal bersama saya. Sebelum ini emak menetap di Perak. Memandangkan abang dan adik hanya balik ke rumah saya ketika mereka bercuti, sayalah teman setia emak.


"Apabila tiada penggambaran drama, saya bawa emak berjalan, membeli-belah dan menemaninya ke pasar. Kasihan emak tinggal seorang diri di rumah tentu dia bosan," katanya.


Ibu Fizo yang masih jelita, berdarah campuran Thailand dan Melayu. Maka tidak hairanlah Fizo segak orangnya. Jangan tak tahu yang Fizo pandai memasak terutama sajian Thai yang diwarisi daripada ibunya. Keluarga sebelah ibunya semua pandai memasak. Pada sesi fotografi itu sempat lagi Fizo memberi resipi dan petua masak tom yam yang juga hidangan kegemaran ibunya.


Habsah yang kelihatan agak pendiam, tetapi sebenarnya peramah dan beliau juga tidak lokek berkongsi resipi keluarganya.


"Emak juga suka makan kerabu ikan bilis dan spagheti. Kalau saya ada di rumah, saya akan memasak. Cadangnya ada rezeki nanti saya hendak buka restoran. Kalau saya sibuk emak boleh jagakan, lagipun orang sekarang suka makanan siam," katanya yang akan ke lokasi filem Bravo 5 arahan Fauzi Nawawi.

Penggambaran itu akan menjalani penggambaran di kem tentera di Mersing.


Selepas melalui pelbagai dugaan hidup, Fizo amat menkagumi ibunya.


"Emak sangat tabah, jarang saya tengok emak menangis. Dia melalui segala cabaran dalam hidupnya dengan tenang. Dia juga tidak cerewet.


Saya balik jam berapa pun, emak mesti bangun dan sempat lagi panaskan lauk untuk saya.


"Insya-Allah saya akan menjaga emak sampai bila-bila walaupun selepas saya berumah tangga. Semoga wanita yang bakal menjadi isteri saya dapat menerima saya dan emak sekali.


Saya yakin emak boleh terima siapa saja sebagai menantunya asalkan dia tahu menghormati orang tua.


"Saya bercadang menghantar emak menunaikan fardu haji tahun ini. Itulah hadiah yang dapat saya berikan kepadanya. Hampir empat tahun menjadi artis emaklah peminat dan penyokong setia saya. Doa restu seorang ibu penting untuk kejayaan anak-anak," katanya.


Puji Hasnah, Fizo anak yang baik, bijak, mendengar kata dan menghormati orang tua.


"Sejak kecil hingga sekarang tidak susah menjaga Fizo. Dia anak manja dan baik hati. Waktu Fizo masih kecil kami sekeluarga di Bukit Jawi, Pasir Putih, Kelantan. Macam budak kampung yang lain, Fizo juga suka panjat pokok dan mandi sungai tetapi dia tidaklah terlalu sangat.


"Saya tahu bukan senang menjadi artis tetapi sehingga kini belum pernah Fizo terjebak dalam gosip panas. Saya selalu ingatkan Fizo supaya pandai jaga diri dan jangan malukan keluarga. Saya sentiasa mendoakan kejayaannya," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan