Zaquan tagih kesetiaan penyokong
|
Zaquan Adha Abdul Razak |
KUALA LUMPUR - Entah di mana silapnya, selepas memenangi Piala FA pada awal musim, skuad Negeri Sembilan terus dihambat prestasi tidak menentu, malah tewas mengejut dalam beberapa perlawanan mudah.
Yang terbaru, Negeri Sembilan sekadar seri 1-1 ketika bertemu KL Plus dan tunduk mengejut 1-2 di tangan Kuala Lumpur semasa beraksi di gelanggang sendiri.
Berkedudukan di tangga kelapan, skuad Hoben Jang Hoben kini semakin menghampiri ke kelompok bawahan liga kerana hanya dipisahkan satu mata dengan pasukan Kuala Lumpur dan tiga mata ke atas Pahang.
Jika nota kekalahan terus dicatatkan dalam beberapa perlawanan seterusnya, skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu bakal berdepan musibah besar dan mungkin akan mengakhiri kempen Liga Super di luar 10 pasukan terbaik.
Oleh itu, penyerang dan bintang Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abdul Razak meminta seluruh peminat setia skuad itu dapat terus memberikan sokongan ketika mereka sedang melalui saat yang sukar.
''Sokongan padu daripada amat penyokong amat ditagih kerana ia secara tidak langsung dapat menaikkan kembali moral saya dan rakan-rakan untuk bangkit dalam beberapa perlawanan akan datang.
''Jangan semasa kita berada di kemuncak prestasi sahaja, peminat baru hendak turun memberikan sokongan.
''Sebenarnya, dalam masa inilah peminat perlu membuktikan kesetiaan mereka dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kerana ia dapat memberikan keyakinan kepada kami untuk terus beraksi lebih baik,'' katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Zaquan, tiada sebarang masalah yang berlaku dalam skuad cuma beberapa masalah kecederaan yang dilihat sedikit mengganggu rentak persembahan Negeri Sembilan secara keseluruhan.
''Antaranya Mohd. Alif Samsudin masih dilanda kecederaan sementara kapten, Rezal Zambery Yahya pula belum habis menjalani penggantungan.
''S. Kunanlan baru sahaja pulih dan ketiadaan mereka semua membuka peluang kepada beberapa pemain muda yang tidak berpengalaman dan itu serba sedikit menjejaskan peluang kami mencatatkan kemenangan, '' katanya.
Selain itu, Zaquan menyifatkan nasib sentiasa tidak menyebelahi pasukannya walaupun banyak menguasai bola dalam perlawanan.
''Ketika kami berdepan Kuala Lumpur, boleh dikatakan kami yang banyak menyerang tetapi kami tetap kalah walaupun banyak mencipta peluang untuk menjaringkan gol,'' ujarnya.
Namun, dia tetap optimis Negeri Sembilan berpeluang mengutip tiga mata penuh ketika melayani kunjungan Johor, Sabtu ini.
''Bagaimanapun, saya tidak mahu bersikap terlalu yakin kerana kelak itu boleh menghukum kita namun saya anggap ini perlawanan terbaik buat kami mengembalikan keyakinan,'' katanya.
Real singgah Malaysia
JIKA segalanya berjalan lancar, kelab bola sepak terkemuka Sepanyol, Real Madrid bakal berada di Kuala Lumpur untuk latihan dan aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan Malaysia dari 14 hingga 21 Ogos depan.
Real yang bakal dibimbing Jose Mourinho tentunya akan hadir dengan barisan bintang diketuai Cristiano Ronaldo, Kaka, Gonzalo Higuain, Xabi Alonso, Iker Casillas dan Raul untuk diuji kehandalan mereka oleh anak-anak buah K. Rajagobal.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya baru saja menerima makluman awal berhubung kehadiran Real itu daripada sebuah syarikat penganjuran acara sukan dari Singapura semalam.
"Menurut surat terbabit, Real akan datang ke sini (Kuala Lumpur) pada 14 hingga 21 Ogos depan. Memandangkan tarikh itu jatuh pada bulan Ramadan, perlawanan itu nanti akan diadakan pada sebelah malam.
"Buat masa ini, belum ada surat rasmi lagi. Tapi kalau jadi, selain berlatih, Real akan mengadakan klinik bola sepak dan dua perlawanan persahabatan, sama seperti ketika kita bertemu Manchester United tahun lalu.
"Segala keputusan mengenai perkara ini akan diputuskan pada 4 Jun depan, sama ada rundingan ini berhasil atau sebaliknya. Tapi FAM bersedia untuk merealisasikannya," katanya pada sidang media di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras petang semalam.
Namun apa yang pasti, perlawanan tersebut tidak akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang akan memulakan sesi baik pulih treknya bermula pertengahan Jun ini dan Stadium Shah Alam mungkin menjadi pilihan terbaik kerana ia boleh memuatkan 80,000 penonton.
Azzuddin menambah, selain aksi menentang Real itu, skuad kebangsaan juga akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Kejuaraan England, Cardiff City pada 15 Julai dan skuad B-23 Korea Selatan pada penghujung Julai.
Cristiano Ronaldo |
"Saya sudah menerima e-mel secara tidak rasmi daripada Datuk Chan Tien Ghee (pemilik Cardiff) dan beliau memohon aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan pada 15 Julai.
"Rundingan untuk membawa skuad B-23 Korea Selatan ke sini pula masih diteruskan. Ia bersempena meraikan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Korea Selatan. Empat pemain skuad tersebut beraksi pada Piala Dunia 2010," jelasnya.
Azzuddin berkata, kelab yang akan ditentang skuad kebangsaan pada tiga perlawanan semasa kunjungan selama 10 hari ke Antalya, Turki dari 10 hingga 20 Jun depan masih dalam perbincangan.
Pengiktirafan untuk Anuar
ANUAR (dua dari kanan) menerima geran tanah daripada Ahmad Said semalam sambil ditemani ibu bapanya, Manan (dua dari kiri) dan Azizah.
RAJA Pecut Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL), Anuar Manan mendapat ‘durian runtuh’ daripada kerajaan negeri Terengganu semalam.
Atas sumbangannya mengharumkan nama negara, dia menerima insentif RM10,000 serta sebidang tanah daripada kerajaan negeri yang diserahkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Ahmad berkata, tanah seluas 449 meter persegi itu bernilai RM36,000 yang terletak di kawasan Tok Adis, Kuala Ibai.
"Ini adalah sebahagian komitmen kerajaan negeri terhadap atlet-atlet sukan yang berjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Ketika ditemui selepas majlis tersebut, Anuar berkata, beliau sungguh terharu dengan sumbangan tersebut.
“Pengiktirafan ini sangat bermakna bagi saya. Ia akan menjadi pencetus semangat untuk saya terus bekerja keras mengharumkan nama di pentas antarabangsa,” katanya.
Anuar juga berhasrat kembali ke Terengganu sekiranya mempunyai pekerjaan tetap di negeri kelahirannya itu. Pada masa ini, beliau menetap di Kuala Lumpur.
"Kayuh basikal belum tentu menjamin masa depan,” katanya.
Anuar yang mewakili sebuah kelab lumba basikal dari Korea akan menghadapi dua kejohanan antarabangsa selepas ini iaitu Singapore Endurance Race di Singapura pada 27 hingga 28 Mei ini dan Le Tour Jakarta pada 13 Jun depan.