(Dari Kiri) Bell Ngasri, Pierre Andre, Nur Fathia, Maimun Talib dan Rozie Rashid antara tunjang utama filem Hijab. |
KALI terakhir melihat pengarah muda ini mengarahkan filem adalah pada tahun lalu menerusi filem Jangan Tegur.
Filem terbitan Metrowealth International Group (MIG) itu meraih kutipan RM4.6 juta untuk tayangan di Malaysia dan Singapura.
Hasil sentuhan jejaka bernama Pierre Andre ini ternyata tidak menghampakan apabila ia boleh dikatakan antara filem yang berjaya pada tahun lepas.
Namun selepas itu Pierre menyepikan diri seketika sewaktu jejaka berusia 25 tahun ini dihambat pelbagai kontroversi.
Namun, kehilangannya tidak begitu lama apabila akhirnya anak teruna Khatijah Tan ini muncul semula dan mahu terus bergiat aktif dalam bidang seni yang dicintai ini.
Rindukan dunia pengarahan, Pierre kini kembali dan sebagai membuka lembaran baru pada tahun ini, Pierre bakal hadir dengan sebuah filem seram berjudul Hijab.
Bekerjasama dengan sebuah syarikat penerbitan yang baru, YB Pictures. Sdn. Bhd., filem pertama syarikat ini turut memperlihatkan Pierre memegang watak utama, di samping skrip ini ditulis oleh Pierre sendiri.
Menurut Pierre, skrip Hijab ini telah diperam sejak dia berusia 18 tahun, ketika belajar di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) lagi.
Tidak mahu rugi
Filem dengan kos RM1.5 juta ini mengisahkan tentang Rafeal yang boleh melihat makhluk halus selepas hijabnya dibuka atas permintaannya sendiri.
Niat asal Pierre, skrip ini mahu diarahkan dalam bentuk filem pendek, namun apabila ditawarkan oleh YB Pictures untuk mengarah filem seram, Pierre terus mengangkat skrip Hijab dalam bentuk filem pula.
Optimis dengan genre dan skrip yang dipilihnya sebagai arahan pertama tahun ini, Pierre yakin filem sebegini mampu berjaya melihat pada pasaran filem sekarang.
"Jika diberi pilihan, saya lebih menggemari filem komedi romantik atau filem aksi. Namun sebagai langkah selamat, kami memilih filem seram sebagai cubaan pertama syarikat ini.
"Risiko filem seram untuk gagal adalah kurang berdasarkan kepada pemerhatian saya terhadap pasaran filem tempatan selama terlibat dalam industri ini.
"Memandangkan ia adalah filem pertama syarikat ini, saya perlu fikirkan tentang untung.
"Lagipun, saya percaya jalan cerita filem ini dapat menarik minat ramai penonton ke panggung," ujarnya ketika ditemui di sidang akhbar Majlis Pelancaran Filem Hijab di Hotel De Palma, Ampang baru-baru ini.
Cerita Pierre, bezanya Hijab dengan filem-filem arahannya sebelum ini ialah teknik penggambaran yang akan digunakan berbeza iaitu tidak statik supaya penonton dapat turut merasakan debaran cerita ini.
Selain itu, pengisiannya juga berbeza dan tidak begitu kompleks. Jalan ceritanya sehala dan penonton dapat memahami filem ini.
Selain Hijab, Pierre juga bakal melepaskan rindu mengarahkan dua buah filem lagi pada tahun ini dengan syarikat produksi lain yang juga merupakan syarikat baru.
Bakal hadir dengan sebuah filem komedi romantik dan sebuah lagi filem aksi yang merupakan genre kegemarannya, Pierre yakin dengan syarikat yang baru berputik ini kerana melihat kepada semangat dan usah mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan