Selamat Datang


I made this widget at MyFlashFetish.com.

assalamualaikum

assalamualaikum
SELAMAT DATANG KE BLOG MY ZARIEL.BLOGSPOT.COM/ WELCOME TO MYZARIEL.BLOGSPOT.COM

Hiburan

 Tolak gelaran rockstar




MEMBALING gitar semasa membuat persembahan di hadapan ribuan penonton, turun pentas secara tiba-tiba sewaktu sedang menyanyi dan berperangai 'diva', itu antara ciri-ciri khas penyanyi yang mula terkena sindrom seperti seorang rockstar.
Dan situasi itu sepertinya turut terkena kepada pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Mohd. Tahir atau lebih dikenali sebagai Faizal Tahir, 31, selepas empat tahun membuktikan segudang potensi sebagai penyanyi dan komposer di bumi hiburan tempatan. Benar, satu persatu cerita kurang manis dipaparkan, menjadi tontonan masyarakat.
Menyedut nafas sedalam mungkin, pemuja The Beatles dan Queen itu mengambil sedikit masa sebelum berbagi rasa kepada wartawan yang berada di sekelilingnya. Isunya, tiada yang lain, mengaitkan kesahihan dia mula berperasaan seperti rockstar.
"Terus terang, saya tidak suka digelar atau pernah anggap diri sebagai rockstar. Sewaktu menyanyi secara solo, saya anggap seperti artis lain. Cuma kalau buat persembahan bersama kumpulan, barulah saya rasa seperti penyanyi rock.
"Biarpun di atas pentas nampak macam rocker dan bekerjasama dengan pemuzik sama, hakikatnya selepas buat persembahan, saya masih lagi orang biasa. Untuk cakap diri sendiri atau orang ramai beri penghargaan bahawa saya macam rockstar, ia masih terlalu awal.
"Sedangkan perjalanan seni saya baru saja bermula. Malah, jauh lagi perjalanan selepas ini. Kalau suatu hari saya meninggal dunia sekalipun, bukan status yang menjadi keutamaan. Sebaliknya lebih gembira kalau peminat mengingati setiap hasil kerja yang saya lakukan dalam bidang seni.

FAIZAL TAHIR mempunyai aura tersendiri setiap kali membuat persembahan.


"Mengambil contoh bekerja sebagai pemandu bas. Saya ibarat pemandu manakala bas merupakan muzik. Kedua-duanya perlu ada serentak demi menghasilkan kejayaan. Soal terdetik di hati atau berangan saya sebagai rockstar, memang tidak pernah wujud," katanya ketika ditemui pada majlis meluncurkan naskhah keduanya, Adrenalin di Hard Rock Cafe, Pulau Pinang minggu lalu.
Faizal yang menerima anugerah Album Rock Terbaik dan Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik edisi 17 berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dua minggu lalu bagaimanapun menganggap 2010 pasti bukan menjadi tahun buat Faizal Tahir.
"Ia bagaimanapun tahun kepada semua pihak termasuk industri, keluarga, pemuzik, media dan peminat. Sungguh terharu kerana selepas menang dua anugerah pada AIM17, tidak lama kemudian saya dapat buat pelancaran album Adrenalin dengan suasana berbeza," ringkas sahaja bunyi jawapannya.
Bukan anak emas
Dengan layanan kelas pertama diraih anak kelahiran kota metropolitan itu, ia sedikit sebanyak mengisyaratkan Faizal kini menjadi anak emas Monkey Bone. Apa lagi, bukti sudah terbentang di depan mata. Dia ditatang bagai minyak penuh sehinggakan majlis pelancaran albumnya direalisasikan di luar kota ditambah menerima keistimewaan lain.
Tidak mudah terjentik emosinya apabila dianggap artis kesayangan syarikat, anak kedua daripada tujuh beradik itu punya jawapan sendiri menjelaskan keadaan sebenar agar tidak disalah erti pada kemudian hari.

BEKAS penyanyi nasyid, Faizal kini boleh berbangga dengan pencapaiannya.


"Kebenarannya, benda ini berkaitan bagaimana cara kita bawa diri. Setiap manusia punya keinginan berbeza antara satu sama lain. Saya sendiri, hanya biarkan muzik buat kerja. Tidak timbul istilah anak emas Monkey Bone atau Media Prima kerana hujung pangkalnya, masyarakat lihat macam mana kita ekspresikan diri dalam bidang hiburan.
"Mungkin selepas pembikinan Adrenalin diselesaikan, Monkey Bone nampak cara kerja dan penat lelah saya bersama Audi Mok sepanjang tempoh dua tahun ini. Maka, syarikat rakaman percaya usaha saya berkesan sekali gus tidak kisah mengadakan majlis khas melancarkan album ini.
"Justeru, saya cukup berterima kasih kepada Monkey Bone dan Hard Rock Hotel yang sudi menaja lokasi pelancaran album ini di Pulau Pinang. Sebenarnya sejak awal lagi saya sudah meluahkan hasrat kepada syarikat rakaman hendak tonjolkan kelainan bagi pelancaran album kedua.
"Lagipun, ini merupakan masa terbaik untuk beri semula penghargaan kepada mereka yang banyak berjasa meningkatkan kerjaya seni saya dari dulu hingga ke saat ini. Alasan utama saya pilih Hard Rock Hotel disebabkan hendak mengajak sekali teman-teman media bekerja sambil bercuti.
"Jadi, mereka tidak rasa tertekan sangat. Lebih menarik lagi apabila saya dan wartawan dapat bergaul dengan lebih erat secara santai ," terang Faizal yang bakal mengadakan persembahan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 30 Mei ini khusus buat para peminatnya.

DARI kiri: Ahmad Izham Omar, Faizal Tahir dan Audi Mok menunjukkan album terbaru, Adrenalin.


Selain berhempas-pulas mempromosi naskhah terbarunya, Faizal sempat berkongsi rencana untuk bertemu peminat dari merata tempat dengan mengadakan konsert siri jelajah dalam waktu terdekat.
"Setakat ini, lima buah lokasi telah disahkan. Sejujurnya, saya memang tidak sabar hendak bertemu peminat terutama di Sabah dan Sarawak. Sudah lama sebenarnya tidak buat persembahan di sana kerana sebelum ini terpaksa membatalkan beberapa undangan akibat masalah kesihatan.
"Selain Sabah dan Sarawak, saya akan datang ke Johor Bahru, Kuantan, Pahang dan Pulau Pinang. Tahun ini saja, saya memang banyak mengadakan persembahan di Pulau Pinang," jawab Faizal yang mengadakan pertunjukan pentas pada acara Hot FM Big Jam di Padang Kota Lama pada 6 Mac lalu.
Persembahan energetik
Tepat pukul 10 malam, Hard Rock Cafe, Pulau Pinang yang dipenuhi hampir 500 peminat mula merasakan gelombang Adrenalin sebaik menyaksikan Faizal muncul dengan gimik tersendiri. Memulakan mini konsert itu di bahagian lampu tergantung sambil mendendangkan lagu Adrenalin, dia menerima jeritan paling gemuruh daripada audiens.
Tidak menanti lebih lama untuk membuatkan suasana menjadi hangat, bekas anggota kumpulan nasyid, Mirwana itu pantas mengalun Superhero dan Bencinta. Sepantas itu juga, satu kelab bergema dengan paduan suara peminat yang turut mengambil kesempatan menyanyi dan menari bersama.
Tidak melupakan himpunan lagu balada, dia menyampaikan lagu Cuba, Sampai Syurga, Mahakarya Cinta dan Selamat Malam secara medley. Harus diakui, momentum Faizal terus konsisten sambil dibantu para pemuzik - Rizal, Kelly, Arthur Kam dan Genervie Kam yang sedia setia mengiringi pertunjukannya sebelum ini.

SEBAHAGIAN peminat yang datang memberi sokongan.


Lebih mengujakan, Faizal buat kali pertama berpadu suara dengan adiknya, Salman tatkala melontarkan November Rain dipopularkan oleh grup tersohor, Gun N Roses. Lagu lain yang sempat dinyanyikan Faizal adalah Hanyut dan Semesta manakala Gemuruh menjadi hidangan pengakhiran Faizal kepada orang ramai.
Selain mengadakan persembahan di Pulau Mutiara, Faizal bakal mengadakan sebuah lagi mini konsert di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 30 Mei ini bermula pukul 10 malam.

Macho pelaris Remy

Remy Ishak tiba-tiba menjadi sebutan peminat di sebalik kemunculan ramai pelakon lelaki lain. Ternyata nilai maskulin dan imej macho Remy antara pelaris dirinya.


REMY sentiasa menjaga penampilan agar sentiasa sesuai dengan acara yang dihadirinya.



BILA bercerita tentang gaya dan trend fesyen lelaki terutama selebriti popular, ada sahaja komen positif dan negatif yang timbul daripada pelbagai pihak.
Tidak seperti fesyen wanita yang lebih bervariasi, imej dan fesyen lelaki sedikit terhad seperti gaya trendy, grunge, metroseksual atau retro.


REMY segak mengenakan baju Melayu sambil membiarkan wajahnya dengan misai dan janggut nipis.



Bagaimanapun, bagi pelakon yang sedang meningkat naik, Mohammad Zalimei Ishak atau Remy Ishak, ternyata penampilannya yang lebih terarah kepada imej lelaki maskulin dan macho begitu disenangi ramai.
Dengan rona kulit sawo matang, gaya macho Remy berjaya mencairkan hati ramai peminat terutama golongan wanita.


PAKAIAN rona gelap lengkap dengan aksesori kasut, jam tangan dan cermin mata hitam menyerlahkan aura lelaki macho Remy.



Apa yang penting, penggayaan asas bagi Remy adalah seluar denim dan baju T putih. Gaya itu sahaja sudah cukup membuatkan peminat tidak berkelip mata melihat penampilan kacak pelakon berasal dari Negeri Sembilan ini.
Kata pelakon berusia 28 tahun ini, dia bukanlah seorang lelaki yang gila fesyen, sebaliknya penggayaan yang sederhana membuatkan dia selesa dengan dirinya.


REMY selesa dengan gaya sederhana menyarung jean dan baju T untuk aktiviti di luar.



Gaya dan imej itu, bagi Remy sesuai untuk digayakan ketika bersantai dengan teman-teman ataupun menuju ke set lokasi penggambaran.
"Sebenarnya, pengertian fesyen sangat luas dan ia bergantung kepada individu yang menilainya. Saya akui saya meminati fesyen tetapi untuk diaplikasikan pada diri, saya selesa dengan gaya sederhana. Cukup jika baju T polos dipadankan dengan seluar denim untuk ke mana-mana sahaja.
"Ini kerana saya sukakan kesederhanaan dalam penampilan. Ia sekali gus dapat membuatkan orang yang kurang mengenali kita selesa dengan kita kerana tidak kelihatan terlalu selebriti.
"Bagaimanapun, saya rasa fesyen lelaki kini tidak lagi terikat dengan satu konsep sahaja. Apa yang saya lihat, lelaki juga seakan-akan sedang berlumba dengan wanita dalam memilih gaya terbaik untuk diri sendiri," kata pelakon yang popular dengan watak Adam dalam drama arahan Khabir Bhatia, Nur Kasih.

Hafiz enggan toleh belakang





ANAK jati Sarawak ini akan muncul di pentas teater untuk teater muzikal Kita yang tersirat mesej perpaduan, pada Jun nanti.




PERNAH menerima pelbagai kritikan negatif termasuk dilabel sebagai artis baru yang selalu tidak menepati janji, secara bertatih, anak seni bernama Hafiz ini sudah semakin lali, memahami dan belajar tentang apa itu 'pengertian' dunia hiburan.
Pegangannya cuma satu, 'jangan cepat melatah atau melenting' biarpun ada ketika kritikan yang dilemparkan kepadanya pahit untuk ditelan sebagai oang baru dalam dunia seni.
Setahun melalui liku-liku hidup di arena hiburan, bagi Hafiz, menerima kutukan, kritikan dan pelbagai kata-kata negatif adalah lumrah andai sesiapa sahaja melangkah ke sempadan selebriti. Justeru, apa yang penting, bagi Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip, menerima dengan hati yang terbuka membuatkan dia kuat untuk berhadapan cabaran mendatang. Malah, fikirnya, dugaan selama setahun berjalan di titian seni selepas bergelar juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pada Mei tahun lalu, masih terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan artis senior lain. Meski mengakui ada ketikanya perasaan marah menguasai diri tatkala disogok kritikan mengaibkan kononnya dia tidak menghormati wartawan, namun, dirinya bersyukur kerana masih mampu mengawal emosi membara tersebut. Atas semangat yang dikurniakan itulah Hafiz kini sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam bidang seni terutamanya nyanyian yang menjadi impiannya sejak di bangku sekolah lagi. Berani tampil dengan imej baru, rambut berpotongan lebih kemas, Hafiz enggan menoleh ke belakang lagi kerana fokusnya adalah kejayaan di masa depan. Mula menceburi bidang lakonan teater dan berjinak-jinak dalam penulisan lirik, inilah antara usaha anak jati Sarawak ini bagi memastikan dia tidak tenggelam dalam arus persaingan dek kemunculan artis-artis baru yang lain. Tidak menghadapi masalah untuk berkecimpung dalam bidang baru, Hafiz tidak kisah untuk berkorban masa demi komitmen terhadap kerjaya. "Jadual kerja saya ketika ini sangat padat. Selain sibuk dengan persembahan, saya kini terikat dengan jadual latihan pementasan teater muzikal Kita.
"Latihan diadakan setiap Rabu, Sabtu dan Ahad di Istana Budaya. Alhamdulillah saya diberikan watak utama sebagai Rahman, seorang budak kampung yang punyai cita-cita tinggi. "Berlakon teater, ia memberi saya satu lembaran baru dalam hidup. Ia sememangnya cukup mencabar," tutur Hafiz ketika sesi fotografi di studio Utusan, baru-baru ini. Selain juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) itu, barisan pelakon yang turut membintangi teater muzikal Kita adalah Eric Lim, Michael Rao, Nas Adila, Amy Wong, Lim Cheng Hock dan Fimie Don. Teater muzikal Kita akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada Jun nanti. Menyambung perbualan, ujar Hafiz, menerusi Kita, dia bukan hanya bertindak selaku penggerak watak tetapi turut melontarkan vokal untuk 10 buah lagu serta menari.
Antara lagu-lagu yang akan dinyanyikannya adalah Dream, Kuala Lumpur Here We Come dan sebuah lagu lama berjudul Getaran Jiwa nyanyian asal seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Hafiz juga akan berduet dengan Nas Adila yang memegang watak sebagai Ayu untuk lagu Pandangan Pertama. Kata Hafiz, teater muzikal Kita adalah teater berkonsepkan gagasan 1Malaysia dan tersirat mesej perpaduan antara kaum di negara ini. "Pada mulanya saya menghadiri sesi uji bakat pada 14 Mac lalu. Tidak sangka pula terpilih berlakon dalam teater tersebut. "Mujur saya ada sedikit asas berlakon yang dipelajari sewaktu berada dalam AF dahulu. Kalau menyanyi dan menari, saya memang tidak ada masalah. "Cuma dalam Kita saya dan pelakon lain harus berdialog dalam bahasa Inggeris. Itu juga satu cabaran buat saya," jelas anak kepada pasangan Mohd. Suip Mohd. Suut dan Halizawati Mohd. Salleh ini.
Cipta lagu dan rambut
Tutur Hafiz, memasuki bidang lakonan, dirinya tidak mudah untuk terus melupakan bidang nyanyian yang menjadi 'teras' perjuangan seninya. Untuk itu, Hafiz kini mula bermain dengan seni kata apabila mencipta lirik dan untuk sebuah lagu berjudul Mungkinkah. Mungkinkah, ujarnya, adalah sebuah cerita tentang pasangan kekasih yang keliru dalam percintaan mereka.
"Ilham mencipta lirik ini saya peroleh ketika hendak tidur sekitar awal tahun lalu. "Baru saya tahu, bukanlah satu kerja yang mudah untuk menjadi seorang penulis lirik. Ini juga satu pengajaran berharga buat diri saya. "Mungkinkah akan dirakamkan tidak lama lagi dan ia menjadi penentu untuk penghasilan album saya selepas ini,'' bicara Hafiz penuh rasa bangga. Mengenai karier nyanyiannya, Hafiz memberitahu bahawa single ketiganya iaitu Watak akan diputarkan di stesen radio tidak lama lagi selepas menerima sambutan menggalakkan daripada dua single terdahulu iaitu Masih Jelas dan Noktah Cinta.
Membanggakan bagi Hafiz, Masih Jelas mencipta sejarah bermakna apabila berjaya memasuki ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24), Januari lalu. Lagu berkenaan turut tercalon di Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) untuk kategori Susunan Muzik Terbaik dan Lagu Pop Terbaik.Tentang imej rambutnya yang terbaru, Hafiz mengakui bahawa dia sendiri telah mengambil keputusan nekad untuk memotong rambut atas sebab tertentu. "Memang saya sayang gaya rambut yang lama. Tetapi saya terpaksa memotongnya sebab banyak rambut saya rosak. "Insya-Allah, mungkin selepas ini saya akan kembali kepada imej rambut yang lama,'' katanya.

Aslam belum ada teman wanita







Aslam





Apabila ditanya adakah berminat untuk menjadi seorang model berjaya? Jejaka 'comel' ini tanpa berselindung dengan jujur menjawab tidak salah kalau dia menyimpan hasrat untuk sekadar mencuba.
Keinginan itu didorong apabila Wan Muhammad Aslam, 20, melihat rakan sekolahnya, Zulhairi Jamel terpilih dalam pertandingan Kacak Bergaya Vigor Pancaindera 2010 yang diadakan pada Mac lalu.
Dalam pertandingan tersebut Zulhari mendapat anugerah bagi katogeri Pilihan Pembaca yang melayakkannya memperoleh tiket penerbangan ke Bali, Indonesia sumbangan AirAsia.
"Kalau ada peluang saya teringin juga untuk mencuba bidang lakonan. Tapi saya belum pernah terdedah dengan dunia seni. Setakat ini hanya memerhatikan dari jauh sahaja.
"Saya harap selepas mendapat pendedahan melalui Pancaindera ini ia akan membuatkan hasrat saya menjadi kenyataan," katanya.
Aslam yang masih belajar di Institut Jerman Malaysia (GMI), Bangi, Selangor dalam bidang kejuruteraan sejak dua tahun lalu bagaimanapun memberi tumpuan kepada pengajian terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk serius dalam bidang seni.
Semasa dipanggil untuk mengadakan sesi fotografi minggu lalu, Aslam turut memaklumkan kepada keluarganya agar tidak terkejut apabila menatap wajahnya dalam akhbar.
"Kalau nak tahu, saya merahsiakan daripada beberapa kawan rapat mengenai peluang ini semata-mata untuk mengejutkan mereka.
"Sebelum ini selain Zulhairi, ada juga kawan saya yang lain pernah muncul dalam ruangan Kacak Bergaya," jelas Aslam lagi.
Bercerita mengenai teman wanita, jejaka ini memberitahu sifat pemalu yang amat mendalam membuatkan dia sukar untuk didampingi.
Bagaimanapun perkara itu ada untungnya kerana buat masa ini dia boleh memberi tumpuan dalam bidang pelajaran dengan bersungguh-sungguh.
Menyentuh mengenai bidang pengajiannya itu, Aslam memilih belajar di GMI kerana sistem pengajian di institusi pengajian swasta itu lebih menekankan kepada pembelajaran berbentuk praktikal.
"Saya ni kalau pelajaran yang banyak teori tu kurang minat sikit, yalah semasa di sekolah sudah banyak disuntik dengan teori, sekarang biarlah belajar banyak praktikal pula.
"Saya sedang mengikuti kursus Proses Kawalan dan Instrumentasi yang berkehendakkan saya melakukan latihan praktikal sebanyak 70 peratus dan hanya 30 peratus teori. Itu yang membuatkan saya lebih minat belajar.
"Saya tinggal di asrama untuk memudahkan ke kelas kerana jadual kelas saya banyak juga setiap hari. Tapi setiap hujung minggu saya balik ke rumah keluarga di Subang Jaya, Selangor.
"Bila balik ke rumah barulah saya berkumpul dengan kawan-kawan sekolah dan kawan rapat yang belajar di kolej dan universiti lain. Biasanya kami lepak di kafe pada sebelah malam serta bermain futsal," jelasnya.
Aslam dan kawan-kawan memilih deretan restoran masakan Arab di pinggir Kuala Lumpur untuk lepak, berborak dan minum-minum kerana suasananya yang agak nyaman dan jauh daripada kesibukan lalu lintas. Kami juga suka menghisap shisha yang disediakan di restoran itu.
"Kami tak ada masa panjang untuk berkumpul sebab apabila masuk minggu baru, semua harus balik ke kolej masing-masing. Apabila balik ke asrama, pasti masing-masing sibuk dengan pengajian," jelasnya lagi.

Kemuncak Adrenalin Faizal









HEBAT... Faizal Tahir merangkul empat anugerah pada Anugerah Industri Muzik Ke-15 pada tahun 2008.






BIMBANG bercampur gembira. Itulah yang digambarkan Faizal Tahir saat diajak berbicara tentang album keduanya, Adrenalin yang sudah pun berada di pasaran sejak 11 Mac lalu.
Faizal mempunyai seribu satu sebab untuk berasa teruja dengan Adrenalin kerana selepas dua tahun tanpa album baru, akhirnya album itu muncul juga dan mengubat kerinduan peminatnya.
Penghasilan album Adrenalin sememangnya cukup mencabar dan menguji kredibilitinya sebagai seorang penyanyi serta komposer.
Manakan tidak. Sepanjang tempoh penghasilan album Adrenalin, dia berdepan dengan kesulitan yang membabitkan kesihatan dirinya.
Semuanya gara-gara penyakit trombosis pembuluh darah (DVT) yang dihidapinya sehingga album yang sepatutnya dilancarkan tahun lalu itu tergendala seketika.
Dalam masa yang sama, Faizal juga tidak mampu menyembunyikan kebimbangannya terhadap penerimaan peminat pada album terbarunya itu.
Ini kerana jelas penyanyi dan komposer berusia 31 tahun itu lagi, Adrenalin merupakan sebuah album yang jauh berbeza dengan apa yang telah dilakukannya menerusi album pertamanya, Aku.Muzik.Kamu.
"Untuk album ini, saya memberi nuansa yang baru serta muzik yang begitu jauh ke hadapan dan ternyata telahan saya tidak silap.
"Saya telah menerima reaksi yang pelbagai daripada peminat tentang album Adrenalin di mana ada yang mengatakan album ini agak berat dari segi muzik dan lagunya.
"Kata mereka juga, album ini tidak memiliki lagu-lagu yang mudah menangkap telinga seperti Mahakarya Cinta, Sampai Syurga, Cuba dan Gemuruh.
"Namun, sebagai seorang pengkarya, saya tidak boleh berterusan menghasilkan muzik dan menerapkan formula yang sama seperti yang telah saya lakukan," jelasnya memberikan pandangan peribadinya terhadap album Adrenalin.
Biarpun menerima reaksi yang berbeza terhadap Adrenalin, Faizal kini mampu menarik nafas lega dan tersenyum bangga apabila penjualan albumnya kini mencecah 7,000 salinan.
Manakala, rangkuman penjualan album Aku.Muzik.Kamu secara fizikal dan digital pula mencatatkan jumlah sebanyak 15,000 unit.
Album Adrenalin terbitan Monkey Bone itu memuatkan sembilan buah lagu iaitu Adrenalin, Superhero, Selamat Malam, Karma, Hanyut, Bencinta, Muzik, Semesta serta lagu Hanyut dalam versi akustik.
Masih lagi mengekalkan penerbit dan komposer terkenal, Audi Mok mengepalai penerbitan album terbarunya, Faizal percaya album berkenaan mampu melekat di hati peminat dan pencinta muzik secara amnya.
Untuk itu, dia harus berterima kasih kepada Audi yang menyakinkan dirinya terhadap Adrenalin biarpun dia berasa bimbang dengan kelahiran album keduanya itu.
Sudah menjadi resmi untuk setiap penyanyi yang melahirkan album, bukan mudah untuk sesebuah album itu diterima dengan baik dan meluas dalam tempoh yang singkat.
Kerana itu, baginya apa yang penting adalah untuk setiap album itu diberikan pendedahan yang sewajarnya.
Dalam masa yang sama, Faizal tidak faham dengan segelintir pihak yang cuba mempertikaikan album Adrenalin apabila berjaya dicalonkan untuk Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) yang akan berlangsung pada 2 Mei (esok).
Jelasnya, ia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana sebelum Adrenalin diterbitkan dalam bentuk fizikal, ia terlebih dahulu sudah dijual secara digital.
Dan, syarat baru kelayakan menyertai AIM juga membenarkan album yang dipasarkan secara digital menyertai anugerah itu asalkan ia mengandungi lima buah lagu.
"Adrenalin sepatutnya dilancarkan tahun lepas tetapi kerana keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan, maka ia terpaksa dianjakkan ke tahun ini.
"Selepas berbincang dengan syarikat rakaman, kami memutuskan untuk menjualnya secara digital terlebih dahulu agar Adrenalin dapat menyertai AIM.
"Bohong kalau saya kata kami tidak mengejar tempoh kelayakan AIM kerana saya mahu melihat album ini menyertai AIM selepas dua tahun tidak berbuat demikian," jelasnya yang meminta agar isu kelayakan albumnya itu tidak lagi dipanjangkan.
Untuk itu, Adrenalin berjaya mendapat tiga pencalonan dalam AIM17 iaitu Album Rock Terbaik dan juga Lagu Rock Terbaik untuk lagu Bencinta.
Faizal turut menerima pencalonan menerusi lagu yang sama bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Lelaki Di Dalam Lagu dan bersaing hebat bersama Hazami, Jamal Abdillah, Riz dan Vince Chong.
Add to 
Google  

Vincent Hampir tersungkur kerana cinta











KENANGAN... Vince dan bekas teman wanitanya, Veronica sudah pun menoktahkan cinta mereka selepas hampir dua tahun menyemai cinta bersama.







DUA tahun kebelakangan ini, nama Vincent Chong Yin-Cern atau Vince sepi seketika sebelum kelahiran album studionya yang ketiga, Kronologi Cinta tahun lalu.
Selama tempoh kehilangannya itu, ramai juga yang bertanya ke mana menghilangnya juara Akademi Fantasia (AF) musim pertama itu.
Adakah dia tidak berminat lagi meneruskan karier seninya atau merajuk dengan industri seni yang dilihat ada kala tidak berlaku adil kepada bakat besar sepertinya?
Jika berdasarkan bakatnya yang bukan sembarangan itu, ramai yang melihat Vince mampu bertahan lama dalam industri.
Seandainya dia tidak lagi meneruskan cita-cita dan minatnya ia memang satu kerugian besar buat industri.
Kehebatan bakat Vince bukan sahaja terletak kepada vokal tetapi bakat penciptaan lagu serta lirik.
Jejaka kacukan Cina-Inggeris itu juga sudah diakui memiliki kualiti vokal yang tersendiri dan dianggap sebagai juara AF paling berkualiti dari segi bakat.
Lalu, sewaktu berbicara dengan anak kelahiran London, England dalam satu pertemuan empat mata di ibu negara baru-baru ini, Vince membuka cerita tentang kehilangannya sebelum tampil dengan Kronologi Cinta.
Cerita Vince, harus diakui dalam tempoh dua tahun itu dia telah melalui perjalanan yang begitu sukar sehingga dia rebah dan hampir tersungkur.
Tanpa berselindung, kata Vince, semuanya adalah penangan hubungan cinta yang tidak kesampaian dan telah merubah hidupnya secara mutlak.
"Ia merupakan tempoh yang cukup sukar buat saya kerana baru saya sedar, cinta sememangnya boleh membunuh kita dalam diam.
"Kerana cinta jugalah, ia mampu menukar watak kita dalam sekelip mata dan saya bersyukur kerana saya tidak terus hanyut serta larut dalam emosi saya sendiri.
"Semuanya kerana bantuan serta sokongan daripada keluarga dan teman-teman rapat yang menjadi kekuatan buat saya untuk bangkit dan meneruskan kehidupan.
"Sekarang, saya sudah berubah dan fokus utama saya kini adalah tentang kerja. Soal cinta? Bukan lagi agenda utama saya," luah Vince penuh jujur menceritakan pengalamannya.
Sambungnya, perhubungan yang dilaluinya bersama seorang wanita Mexico bernama Veronica sewaktu menuntut di Taipei, Taiwan banyak mengajarnya untuk menjadi seorang yang lebih dewasa dan matang.
Bangkit semula
Malah, jujur Vince mengakui, dia hampir membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya bagi hidup bersama dengan wanita itu.
Mungkin kerana Tuhan mahu menyedarkannya bahawa perhubungan itu tidak mampu bertahan lama, barulah Vince membuka matanya dan melihat warna sebenar dalam perhubungannya.
"Perkahwinan adalah untuk seumur hidup dan kalaulah sepanjang tempoh perkenalan itu banyak perkara yang membuatkan kita tidak boleh melakukannya bersama-sama, apakah yang akan jadi nanti?
"Kerana itu, saya cepat sedar dan memutuskan untuk tidak meneruskan perhubungan ini lagi kerana percaya ia tidak akan membawa sebarang kebaikan.
"Ketika itu jugalah, peluang tiba untuk saya bangkit semula dalam industri dan saya tidak mahu melepaskan peluang itu hanya semata-mata mengorbankan perkara yang tidak dapat menjanjikan kebahagiaan," kata Vince panjang lebar dan mahu melupakan kisah pahit percintaannya itu.
Tidak mahu lagi memikirkan soal cinta buat masa ini, keutamaan dan fokus Vince kini adalah hanya pada kerjayanya.
Berdasarkan pengalamannya itu jugalah telah memberi inspirasi kepada anak seni yang berusia 30 tahun ini untuk menumpahkan ke dalam setiap lagu di dalam album Kronologi Cinta.
Bagi Vince, album ketiganya itu memiliki nilai sentimental yang tersendiri dan ia juga bersifat peribadi kerana kisah hidupnya semuanya terkandung dalam setiap lagu.
"Setiap lagu disusun secara kronologi dan saya juga melihat album ini sebagai sebuah novel yang menceritakan segala pengalaman saya.
"Tiada kata yang mampu saya lafazkan melainkan syukur, gembira dan teruja dengan penghasilan album Kronologi Cinta yang benar-benar memuaskan hati saya.
"Pengalaman lalu juga banyak mematangkan saya sebagai seorang pengkarya dan anak seni. Kematangan itu dapat dilihat dengan jelas dalam album Kronologi Cinta," jelasnya tentang album yang diterbitkan dan diedarkan oleh NSR sejak tahun lalu itu lagi.
Duduk berbual selama satu jam bersama Vince dan membincangkan tentang album Kronologi Cinta, terserlah kesungguhan Vince menceritakan satu per satu proses pembikinan albumnya.
Selama ini, kata pelantun lagu Janji-Janji dan Mengapa Harus Cinta? dia hanya disuap apabila pembikinan albumnya ditangani serta disiapkan oleh orang lain biarpun dia juga menyumbang dari segi lagu-lagunya.
Kali ini, semuanya berbeza apabila keseluruhan produksi album Kronologi Cinta melibatkan tenaga dan kreativitinya dari awal hinggalah akhir.
Juga, album ketiganya itu juga menyaksikan sentuhan yang jauh berbeza dengan apa dua buah album studionya sebelum ini iaitu Vince dan Janji Vince.
Tidak mahu lagi tampil dengan bunyi dan muzik yang sama, bagi Vince, sebagai karyawan dia mahu terus menghasilkan produk tanpa menggunakan formula yang sudah diguna pakai.
Menyuntik semangat
Kerana itu, dia cukup puas hati dengan album tersebut dan barulah kini dia tahu serta sedar bagaimana peritnya untuk menerbitkan sebuah album.
"Apabila NSR memberi peluang kepada saya untuk merakamkan album, saya berfikir ia peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja.
"Mereka memberi sepenuh kebebasan kepada saya untuk mencorakkan album saya dengan keinginan dan kehendak saya sendiri.
"Dalam masa yang sama, album ini juga saya lihat telah menepati kehendak pendengar masa kini menerusi variasi lagu yang ditampilkan.
"Kronologi Cinta juga saya sifatkan sebagai kepuasan untuk peminat dan diri saya sendiri," tuturnya bersemangat tentang album yang memuatkan 10 buah lagu ciptaannya.
Selebihnya adalah lagu ciptaan Sharon Paul dan Kronologi Cinta turut memuatkan tiga buah lagu Inggeris iaitu Getting Closer, Teach Me How To Love dan Dear Jean.
Lagu-lagu Melayu yang terkandung dalam album ini adalah Biarkan, Buah Hati, Layan Saja, Apa Jawapannya, Kan Temu Jua, Cerita Kita dan Akhirnya.
Salah sebuah lagu iaitu Ajarku Cinta menyaksikan gabungan Vince bersama naib juara Bintang RTM 2009, Jo-Anna Sue Henly Rampas.
Ternyata pengorbanan dan perit jerih Vince menerbitkan album Kronologi Cinta berbalas apabila menerima tiga pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) yang berlangsung Ahad ini (2 Mei).
Ia merangkumi Kulit Album Terbaik, Album Pop Terbaik dan Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Lagu.
Bagi kategori Album Pop Terbaik, Vince disaingi oleh album Aku Stacy oleh Stacy, CTKD (Datuk Siti Nurhaliza & Krisdayanti), Dayang Live (Dayang Nurfaizah) dan Tahajjud Cinta (Siti Nurhaliza).
Manakala untuk Vokal Lelaki Terbaik pula, saingan Vince bukan calang-calang iaitu Faizal Tahir, Hazami, Jamal Abdillah dan Riz.
Bagi Vince, tiga pencalonan itu sudah cukup membuktikan bahawa pihak juri masih lagi percaya dengan bakat serta pembaharuan yang dibawakannya menerusi albumnya itu.
"Bagi saya, menang merupakan satu bonus dan kalau tewas, saya tidak melihat ia satu kegagalan kerana setidak-tidaknya produk saya sebaris dengan calon hebat yang lain.
"Ia juga telah menyuntik semangat untuk saya terus menghasilkan produk yang lebih baik selepas ini," ujarnya yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik AIM pada tahun 2005.
Dalam perkembangan lain, Vince juga akan muncul dengan teater muzikal Taming of the Shrew: A Bollywood Cabaret yang akan dipentaskan di PJ Live Arts Theatre, Petaling Jaya, Selangor, pada bulan Jun ini.
Selain itu, Vince juga sibuk menyiapkan dua buah skrip filem masing-masing untuk filem Cina dan Melayu yang masih belum berjudul.
Add to 
Google  

KD hilang suami, tinggal kekasih

MEMPUNYAI kawan baik dan popular seperti Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 31, dan kakak yang sentiasa mempertahankan dirinya, Yuni Shara, 37, memberi kekuatan kepada Kris Dayanti atau KD, 35, untuk tabah menghadapi dugaan hidup.
JAWAB...Siti dan KD pada sidang media selepas selesai 
persembahan.
JAWAB...Siti dan KD pada sidang media selepas selesai persembahan.






sebelum  -  selepas



KD berkata, dia sangat beruntung mempunyai kawan baik seperti Siti kerana banyak memberi semangat dan kekuatan kepadanya. Katanya, melihat wajah Siti yang lembut mampu membuat jiwanya tenang apa lagi mendengar kata-kata semangat daripadanya supaya dia terus tabah.
"Siti selalu mengingatkan saya bahawa sudah suratan takdir saya begini dan harus reda menerimanya. Dia juga memberi semangat kepada saya supaya meneruskan kehidupan dengan tabah.

"Katanya, apa yang berlaku pasti ada hikmahnya kerana Allah yang menentukan baik atau buruk kehidupan kita. Siti juga mengatakan, soal jodoh dan ajal ditentukan Allah dan meminta saya sentiasa berdoa supaya dijauhkan daripada yang buruk dan didekatkan dengan kebaikan.

"Selain kawan baik, saya juga punya kakak yang sentiasa menyokong diri saya dan menganggap Yuni Shara sebagai pahlawan dalam hidup saya. Dia sentiasa berada di hadapan mempertahankan saya," katanya ketika ditemui selepas selesai persembahannya bersama Siti di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam, kelmarin.

Penyanyi terkenal Indonesia ini tiba di Kuala Lumpur pada 26 April dan dijangka pulang pada 3 Mei ini kerana menjayakan persembahan selama dua hari di SACC dan malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM17) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Ahad ini.

Baru-baru ini, KD mengejutkan peminat apabila membuat pengakuan dalam satu sidang media di Indonesia mengatakan percintaannya dengan jutawan dari Timur Leste, Raul Ramos, sudah berakhir dan dirinya tiada lagi kaitan dengan lelaki berstatus suami orang itu.

Penyanyi yang popular dengan lagu Aku Wanita Biasa itu mengatakan, dia memutuskan hubungan dengan Ramos kerana tidak mahu terbabit dengan suami orang. Katanya, sebelum ini dia keliru dengan status Raul.

Perkahwinannya dengan Anang Hermansyah pada 22 Ogos 1996 berakhir dengan perceraian pada Ogos 2009 kerana dikatakan ada orang ketiga. Mereka mempunyai dua anak, Titania Aurelia Hermansyah dan Azriel Hermansyah.

Nasib juara Asia Bagus! pertama pada 1992 itu seperti pepatah 'yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran'.

KD akui perasaannya sangat kecewa, tetapi orang di sekelilingnya banyak memberi sokongan dan semangat kepadanya.

"Bohong kalau saya tidak nangis sendirian tapi saya bukanlah orang yang suka melayan kesedihan berpanjangan. Saya terima hakikat sudah lumrah kehidupan, pasti ada pasang surutnya dan saya banyak belajar daripada kesilapan ini.

"Saya juga sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya memberikan sesuatu yang lebih baik buat saya. Selepas melalui kegagalan perkahwinan dan kini percintaan, mungkin ada hadiah lain yang membahagiakan menanti saya. Mungkin kebahagiaan itu belum menjadi milik saya sekarang, tetapi saya yakin Tuhan akan memberikannya kepada saya suatu hari nanti.

"Saya juga sudah tiada apa-apa hubungan lagi dengan Raul, tetapi sebagai teman, saya tidak mampu menghalangnya. Bagaimanapun, saya hormati wilayah yang tidak boleh saya campuri sekarang.

"Saya juga yakin persahabatan saya dan Siti terus kekal tanpa dirosakkan dengan pergaduhan yang boleh menjejaskan hubungan baik ini. Saya cukup optimis dengan Siti kerana dia orangnya sangat baik dan saya tidak akan biarkan perkara yang mampu merosakkan hubungan ini," katanya.

Sementara itu, Siti mengakui sebagai kawan dia perlu memberi semangat dan sokongan pada KD untuk menghadapi dugaan dalam hidupnya.

"Semua orang ada masalah peribadi dan kini KD melaluinya. Saya berikan semangat kepadanya bahawa ini adalah perjalanan hidup yang perlu dilaluinya. Ternyata KD begitu profesional kerana mampu memberi persembahan hebat malam ini. Dia tidak pernah menunjukkan masalahnya ketika bekerja.

"Kami juga hanya mampu melakukan latihan ringkas untuk persiapan. KD tiba di Kuala Lumpur jam 10 malam tadi dan kami terus membuat latihan sehingga jam 12 tengah malam. Pagi tadi (Selasa) ada majlis pelancaran SACC dan kami membuat penampilan khas dengan menyampaikan dua lagu, kemudian berlatih lagi.

"Saya bangga kerana malam ini kami muncul berkongsi pentas bersama selepas menghasilkan album duet, CTKD: Cinta, Tangis, Ketawa, Duka) tahun lalu. Saya puas kerana mampu memberi kepuasan kepada penonton malam ini dengan persembahan hampir dua jam," katanya.

Dalam persembahan sempena perasmian SACC itu, Siti dan Kris menghiburkan penonton dengan lagu daripada album duet mereka, Jika Kau Tak Datang, Hanya Dia dan Sebagai Teman sebelum menyampaikan lagu solo.

Bagi memberi keistimewaan kepada persembahan malam itu, Siti menyampaikan lagu popular Kris, Cobalah Untuk Setia dan Mahadaya Cinta manakala Kris memilih lagu Siti, Aku Cinta Padamu dan Bukan Seindah Biasa.

Siti juga mengejutkan peminat apabila menyampaikan lagu popular Inul Daratista, Goyang Inul, tetapi mereka tidaklah goyang gerudi seperti Inul. Siti dan Kris juga mengundang penonton lelaki ke pentas menari bersama mereka.

Kata Siti, dia sendiri memilih lagu itu hingga Kris terkejut dengan lagu pilihannya. Malah Siti sendiri mengakui tidak tahu mengapa dia memilih lagu itu. Siti juga menyampaikan lagu lama yang dipopularkan Bob Tutupoly dan Broery Marantika, Widuri serta turun pentas bertemu penonton sambil meminta mereka menyanyikan lagu itu bersama.

Lagu lain, secara solo oleh Siti ialah Destinasi Cinta, Biarlah Rahsia, Ku Mahu dan Ku Milikmu. Kris menyanyi solo lagu Rembulan, Menghitung Hari, Penasaran dan Mencintaimu.

Kata Kris, lagu Menghitung Hari cukup bermakna kepadanya kerana diterima dengan baik masyarakat di sini melalui lagu itu pada 1998. Sejak itu saban tahun Kris berkunjung ke sini mengadakan persembahan.

Persembahan hampir dua jam itu diakhiri dengan lagu duet mereka, Tanpamu dan Amarah. Siti dan Kris juga akan membuatkan persembahan pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM17) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad ini dengan lagu Hanya Dia. Siti dan Kris juga dicalonkan di AIM17 untuk kategori Vokal Berkumpulan/Duo Terbaik (Dalam Lagu) melalui lagu Amarah.
>Profil
Nama sebenar: Siti Nurhaliza Tarudin
Tarikh lahir: 11 Januari 1979
Tempat lahir: Kuala Lipis, Pahang
Keluarga: Anak keempat daripada lapan beradik
Bapa: Tarudin Ismail
Ibu: Siti Salmah Bachik
Suami: Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa
Juara: Bintang HMI 1995
Album: CTKD: Canda, Tangis, Ketawa, Duka (2009), Tahajud Cinta (2009), Lantera Timur (2008), Hadiah Daripada Hati (2007), Transkripsi (2006), Cindai (1997), Aku Cinta Padamu (1997), Siti Nurhaliza (1996)
Lagu popular: Amarah, Ku Mahu, Destinasi Cinta, Biarlah Rahsia, Seindah Biasa, Bukan Cinta Biasa, Nirmala, Percayalah, Nirmala, Kau Kekasihku, Nian Di Hati, Purnama Merindu, Cindai, Aku Cinta Padamu, Jerat Percintaan
>Profil
Nama sebenar: Krisdayanti
Tarikh lahir: 24 Mac 1975
Tempat lahir: Malang, Jawa Timur
Keluarga: Anak bongsu daripada dua beradik
Bapa: Trenggono
Ibu: Rachma Widadiningsih Anak: Titania Aurelia Hermansyah, Azriel Hermansyah
Album: CTKD: Canda, Tangis, Ketawa, Duka (2009), Aku Wanita Biasa (2009), Krisdayanti (2007), 10 Tahun Pertama (2006), Kompilasi 3 Diva (Semua Jadi Satu/2006), Cahaya (2004), Menuju Terang (2002), Makin Aku Cinta (2001), Mencintaimu (2000), Menghitung Hari (1999), Buah Hati (1999), Sayang (1997), Demi Cinta (1998), Kasih (1997), Hanya Tuhan (1995), Terserah (1995), Asia Bagus (1993)
Lagu popular: Aku Wanita Biasa, Cobalah Untuk Setia, Mahadaya Cinta, Rembulan, Makin Aku Cinta, Mencintaimu, Menghitung Hari

'Saya tidak perlu rasa tertekan'

FESTIVAL Muzik Asia Shanghai melambai lagi. Kali ini Malaysia menyandarkan harapan kepada artis muda yang pernah mencipta nama menerusi program Mentor TV3, Nabil Zamanhuri.
pix_middle








sebelum  -  selepas

NABIL...pastikan tahap kesihatan dalam keadaan baik dan mendapat 
cukup rehat. USAHA KERAS...Nabil sedang rancak mempromosikan single terbaru, 
Halimunan.



NABIL...pastikan tahap kesihatan dalam keadaan baik dan mendapat cukup rehat.
Menyingkap pencapaian cemerlang penghibur Malaysia di festival itu, tidak hairanlah penyertaan kita digeruni peserta negara luar.
Masakan tidak, hampir 90 peratus penyanyi tempatan yang pernah mengambil bahagian dalam acara berprestij itu, berjaya mengharumkan nama Malaysia.

Mereka termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Anis Suraya, Misha Omar, Deja Moss, Vince, Jacyln Victor dan Shila OIAM.

Lalu harapan yang tinggi diletakkan ke bahu Nabil untuk mengikuti jejak peserta senior lain atau sekurang-kurangnya memberikan saingan hebat.

Nabil yang sedang hangat dengan lagu Dari Jauh, akan berangkat ke Beijing, China pada 28 April hingga 7 Mei ini.

"Kalau boleh tu, memanglah hendak menang tapi saya amat sedar cabarannya tidak semudah itu apatah lagi ia membabitkan ramai peserta handalan dari pelbagai negara di Asia.

"Justeru, saya berasakan tidak perlu tertekan dengan soal menang atau kalah kerana yang penting, saya berazam untuk tonjolkan persembahan yang terbaik.

"Kata orang kalau ditakdirkan tewas sekalipun, saya mahu ia dilakukan secara bermaruah," katanya.

Bezanya dengan penganjuran yang lalu, pertandingan kali ini diadakan di kota Beijing bukan lagi di Shanghai. Bagaimanapun, nama acara berkenaan masih dikekalkan meskipun lokasi sudah bertukar.

Menyedari cuaca di Beijing agak dingin, Nabil sedikit bimbang sekiranya keadaan kesihatannya terjejas akibat perubahan cuaca.

"Paling penting, saya perlu memastikan tahap kesihatan dalam keadaan yang baik dan mendapat cukup rehat. Sebagai persediaan menghadapi pertandingan itu, saya juga mengikuti kelas vokal bimbingan Syafinaz Selamat untuk memantapkan mutu persembahan kelak," katanya.

Pada acara itu nanti, Nabil akan menyampaikan dua lagu iaitu Dari Jauh yang ditulisnya sendiri bersama Lah Ahmad. Juga sebuah lagu berbahasa Inggeris, A Song For You yang pernah dipopularkan Donny Hathaway. Susunan kedua-dua muzik ini akan digubah semula oleh Orkestra RTM.

Penyertaan Nabil pada pertandingan itu disahkan Pengurus Besar Prism, Ong Peng Chu yang turut diundang ke majlis sesi pradengar single terbarunya daripada Alibi Music Sdn Bhd. Ia diadakan di Red Box, The Gardens Mid Valley, baru-baru ini.

Ong memaklumkan, pemilihan sebagai peserta kali ini disyorkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Ia dinilai berdasarkan prestasi Nabil ketika beraksi menerusi musim pertama Mentor selain kemampuannya sewaktu bersaing dalam peringkat akhir World Championships of Performing Arts 2009 (WCOPA).

Menyingkap perkembangan lain, pelajar Ijazah Sarjana Muda Filem dan Animasi Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di Cyberjaya yang pernah membintangi beberapa drama antaranya Kamelia Katrina, sedang rancak mempromosikan single terbaru, Halimunan.

Halimunan adalah satu daripada tujuh lagu yang akan dipromosikan Alibi Music sepanjang April dan Mei ini.

Lagu lain adalah Ruang Kedua (duet dengan Marsha dan penyanyi Perancis, Julian Cely), Adinda (Lah Ahmad), AMPM (DyNda) dan Indah (Atilia) Untuk Dia (Sleeq), Penyelamat Cinta (duet Liyana Jasmay dan Aizat) dan Tic Tac Toe (Ezlynn).

"Secara rasminya saya sekarang bernaung di bawah syarikat rakaman Alibi Music. Bagaimanapun, hal pengurusan masih diuruskan syarikat saya sendiri," kata Nabil.

>Profil
NAMA: Nabil Zamanhuri
TARIKH LAHIR: 13 September 1987
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
HOBI: Bermain gitar, piano, melukis, animasi, fotografi
IDOLA: Michael Jackson
TINGGI: 173 sm
BERAT:57 kg
KEJAYAAN: Naib Juara, Mentor TV3
LAGU POPULAR : Hati ini, Hey Emma, dari Jauh
LAKONAN: Seribu Erti, Fara, Kerana Karina, Kamelia & Katrina


Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Kongsi Artikel |   Facebook   MySpace   Google   Twitter