Selamat Datang


I made this widget at MyFlashFetish.com.

assalamualaikum

assalamualaikum
SELAMAT DATANG KE BLOG MY ZARIEL.BLOGSPOT.COM/ WELCOME TO MYZARIEL.BLOGSPOT.COM

Isnin, 26 April 2010

Ramli ikut jejak Khaty bolosi DFP

KEHEBATAN suaranya tiada tandingan. Pada usia 57 tahun, Ramli Sarip membuktikan bakat nyanyian dalam dirinya masih menebal.

Nyata bekas vokalis Sweet Charity yang mendapat jolokan Papa Rock ini mempunyai kekuatan vokal sama seperti dulu setiap mengadakan persembahan. Biar masa berlalu dan generasi penyanyi bersilih ganti, persembahannya tetap dinantikan. Mengubati kerinduan peminat, Ramli membawa berita gembira apabila akan mengadakan konsert selama dua malam berturut-turut bermula 10 Mei ini.


Menariknya, konsert yang dikenali sebagai Tafsiran Alam: Wisdom of Nature akan mencipta sejarah tersendiri kerana mengambil lokasi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur. Tentunya, bukan calang-calang penyanyi boleh mengadakan persembahan di sana memandangkan pelbagai kriteria dan piawaian perlu dipenuhi bersesuaian persembahan bertaraf antarabangsa.


Ramli berkata, peluang mengadakan konsert di DFP hadir selepas dia terbabit sama menjayakan Khadijah Ibrahim's The Pearl Anniversary Concert di lokasi yang sama pada 17 November 2008. Pada persembahan itu, sambutan yang diberikan peminat cukup menggalakkan termasuk menyokong karier seninya.


"Mungkin DFP melihat profil diri saya sebagai penyanyi yang mempunyai banyak album mampu memberi tarikan pada penonton hadir ke sana nanti. Saya percaya ini satu peluang yang besar dan saya tersentuh dengan sokongan peminat pada saya sebelum ini. "Memberi tarikan, konsert saya kali ini turut menyaksikan kerjasama dengan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia. Saya pernah menjadi sukarelawan bersama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), tetapi kini berhasrat membantu yayasan ini menerusi sumbangan daripada jualan tiket konsert itu nanti.


"Mengenai persembahan, saya akan menyampaikan hampir 20 lagu dalam persembahan yang dijangka berlangsung selama dua jam. Seramai 17 pemuzik akan mengiringi persembahan kali ini dan saya berasakan suasananya berlainan hinggakan peminat perlu menyaksikannya sendiri," katanya.


Menambah keghairahan kepada peminat, Ramli turut menampilkan dua penyanyi undangan iaitu Andre Goh dan Misha Omar. Ramli menyatakan dia memilih Andre dan Misha untuk turut serta dalam persembahan kali ini kerana kelebihan vokal yang istimewa. "Sewaktu bersama Sweet Charity pada 1973, saya sering menonton persembahan Andre di Panggung Negara, Singapura. Apabila mendengar suaranya mengalunkan lagu Mas Merah, saya berasakan dia sangat unik, asli, luar biasa dan tidak janggal menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu. "Begitu juga, Misha, seorang penyanyi yang baik, mempunyai imej dan penampilan selesa serta menyampaikan lagu dengan menarik. Pada persembahan ini, saya juga akan menyanyikan dua lagu baru iaitu Kekasihku ciptaan Pyan Habib dan Ziarah yang diambil daripada puisi karya Zainal Abidin Ahmad," katanya.


Bagi Andre, dia terkejut apabila dijemput terbabit sama dalam konsert ini. Secara peribadi, dia juga akui sebagai peminat Ramli sejak 1970-an.


"Ramli mempunyai suara yang semakin matang dan berkerak-kerak hingga membuatkan dia penyanyi yang mempunyai suara unik. Saya pernah terfikir untuk menyanyi bersamanya dalam album ketika itu, tetapi tidak sangka akhirnya kami sama-sama mengadakan persembahan kali ini," katanya.

Begitu juga, Misha yang bangga dengan peluang yang diperoleh.


"Saya rasakan ini adalah peluang terbaik untuk saya mengambil pengalaman baru beraksi di DFP. Umpama orang mengantuk disorong bantal, saya harus berterima kasih kepada Abang Ramli kerana menjemput saya.


"Apapun, saya akan berusaha memberikan kerjasama yang baik dan memenuhi kehendak penonton pada persembahan malam itu nanti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan