![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhMkKEdv1kySJWLsSutg3EOALQ6Ktw9eLWHb1S0a-1HjrNmF6Q7yjvYirdOS1IZP3jet_tYVn8V9Lwk3z00Xxnr9IS1d-U7941up6a07dCFjbZ9Ig_E2uuEmHrKe15kuYI6ASiljr_Lb-A/s320/aziz.jpg)
Dalam majlis pada pukul 10.10 pagi itu, Aziz dengan hanya sekali lafaz selamat diijabkabulkan dengan Puteri Sarbainun atau mesra dengan panggilan Puteri Lily.
Majlis itu menjadi lebih bermakna apabila Puteri Lily dinikahkan sendiri oleh bapanya yang merupakan seorang penggiat teater terkenal, Lokman Ghani.
Ini merupakan perkahwinan ketiga buat Aziz dan yang pertama untuk Puteri Lily.
Pada majlis itu, Puteri Lily menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 dan wang hantaran berjumlah RM15,000 termasuk sebentuk cincin beserta tujuh dulang hantaran daripada pihak pengantin lelaki.
Pihak pengantin perempuan pula membalas dengan sembilan dulang yang merangkumi sebentuk cincin, sepersalinan baju Melayu beserta samping, minyak wangi, coklat, sirih junjung, buah-buahan dan senaskhah al-Quran.
Ketika ditemui selepas majlis berakhir, Aziz yang kelihatan tenang sewaktu melafazkan akad nikah memberitahu, dia bersyukur kerana apa yang dirancangkannya berjalan dengan lancar.
Apatah lagi, keluhuran dan kejujuran Puteri Lily menerima diri dan enam orang anaknya itu benar-benar membuatkannya yakin untuk berkahwin lagi.
"Memang sudah lama saya hidup menduda dan apabila membuat keputusan untuk berkahwin sekali lagi, saya mahu mencari keberkatan hidup.
"Selepas melalui liku-liku dalam perkahwinan sebelum ini, sudah pasti saya mengharapkan kali ini adalah yang terakhir," luah Aziz yang merupakan Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-15 menerusi filem Leftenan Adnan.
Biarpun ada segelintir pihak yang memperkatakan tentang perbezaan usia 27 tahun antara dia dan isterinya, Aziz langsung tidak melihatnya sebagai satu masalah besar.
Sementara itu, bagi Puteri Lily pula, dia sememangnya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu segera kepada enam orang anak Aziz.
Malah, Puteri Lily juga menyerahkan kepada rezeki seandainya dia dikurniakan dengan cahaya mata dalam waktu terdekat ini.
"Saya tiada masalah untuk mendampingi anak-anak tiri saya. Insya-Allah, saya akan menjadi isteri dan ibu yang terbaik untuk mereka," katanya.
Majlis pernikahan yang diadakan dalam suasana ringkas dan sederhana itu turut disaksikan ahli keluarga kedua-dua belah pihak termasuk ibu Aziz, Afida Es.
Majlis resepsi pasangan ini diadakan di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay di sini malam ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan