Selamat Datang


I made this widget at MyFlashFetish.com.

assalamualaikum

assalamualaikum
SELAMAT DATANG KE BLOG MY ZARIEL.BLOGSPOT.COM/ WELCOME TO MYZARIEL.BLOGSPOT.COM

Isnin, 7 Jun 2010

ST12 lebarkan sayap

SINGKATAN daripada nama Jalan Stasiun Timur no. 12, Bandung diangkat sebagai nama kumpulan tiga anggota dari seberang iaitu Charly (vokal dan bass), Pepeng (gitar) dan Pepep (drum) yang selesa menggelar kumpulan mereka sebagai ST12 ini.

Nama yang cukup unik itu diambil sempena nama jalan tempat bermulanya operasi muzik mereka.

Ketik itu, ST12 hanya membina nama sebagai sebuah band indie.

Di jalan keramat itu jugalah, ST12 membina sebuah studio rakaman tempat mereka merangka aktiviti seni serta mencari ilham berkarya.

Telah lima tahun bertapak di lapangan seni, hasilnya cukup memberangsangkan apabila sehingga kini berjaya membuahkan sebanyak empat album iaitu Jalan Terbaik, P.U.S.P.A., P.U.S.P.A. Repakage dan Pangeran Cinta.

Bagaimanapun, ST12 baru saja memperoleh peluang berkunjung ke Malaysia.

Kedatangan mereka ke sini untuk mempromosikan album Pangeran Cinta yang telah dipasarkan sejak 24 Mei lalu.

Antara lagu-lagu yang terkandung dalam album tersebut ialah Terlalu, Setiaku, Aku Padamu, Dunia Pasti Berputar, Pangeran Cinta, Masa Kecil, Lady Sky, Aku Terjatuh, Anugerah Cinta, I Love You, Sayedina dan Sebuah Kenyataan.

Bagi ST12, ini merupakan permulaan langkah mereka memenangi hati peminat muzik di negara ini.

Membawakan elemen muzik tersendiri yang lebih kemelayuan malah, tidak kurang juga dilabel sebagai muzik kampung oleh sesetengah pihak, ST12 bagaimanapun cukup menyenangi identiti muzik yang mereka perjuangkan.

Apatah lagi, dengan beridentitikan muzik 'kampung' nama mereka kini dikenali malah mula melebarkan sayap ke Malaysia.

Hadir dengan empat anggota pada asalnya, iaitu Ilham Febry (Pepep), Dedy Sudrajat (Pepeng), Muhammad Charly Van Houten (Charly) dan Iman Rush (Iman).

Kini mereka akur menggerakkan ST12 dengan hanya bertiga setelah Iman terlebih dahulu pergi buat selama-lamanya.

Iman meninggal dunia akibat pecah pembuluh darah di otak pada Oktober 2006.

Pemergian Iman pada ST12 sedang membina pengaruh tersendiri bukan alasan buat mereka menghentikan langkah dan berundur daripada bidang seni suara.

Menyorot kembali kepayahan ST12 mencipta nama, Charly menjelaskan, kumpulan itu terpaksa menempuh pelbagai cabaran termasuk muzik mereka diperlekehkan pelbagai pihak.

"Orang di kota besar sukar menerima muzik kami ketika itu. Mereka kata muzik kami kekampungan. Jadi kami bergerak sendirian ke pelosok-pelosok kota bermain muzik dan mengumpul peminat tersendiri.

"Ketika itu juga Iman memang sudah sakit. Pada suatu pagi di bulan Ramadan, dia diserang keletihan dan jatuh sakit.

"Kami akui pemergiannya sedikit menggoyahkan kumpulan kami. Namun begitu, Alhamdulillah kami masih teruskan sehingga kini," katanya dalam sidang akhbar pada majlis pelancaran album Pangeran Cinta, di Dorset Regency, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ternyata rezeki berpihak kepada ST12 apabila peluang bermain muzik di sebuah konsert di Jawa yang dihadiri oleh lebih 15,000 penonton, menjadi titik mula kemasyhuran ST12.

Tambah Charly, ST12 muncul dengan muzik baru yang agak sukar diterima oleh ramai orang pada awalnya.

Namun, peredaran masa banyak memperlihatkan tumbuhnya kumpulan-kumpulan dengan pengaruh muzik yang hampir serupa seperti Wali Band.

"Kami punya rasa bahawa muzik kami boleh diterima di Malaysia," kata Charly.

Sebelum ini, ST12 pernah menjayakan konsert di Stadium Tertutup Bandaraya, Johor Bahru menerusi Emerald Live In Concert Johor Bahru yang dihadiri oleh 2,500 penonton.

Biarpun jumlahnya agak kecil, namun itu sudah cukup membuktikan muzik mereka ada pengikut tersendiri.

Malah, baru-baru ini juga ST12 muncul menghiburkan peminat dalam konsert Rossa - Melodi Cinta yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 29 Mei lalu.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Aziz M. Osman, Puteri Lily selamat diijab kabul


KUALA LUMPUR 6 Jun - Pengarah filem dan drama terkenal, Aziz M. Osman, 48, sah bergelar suami kepada Puteri Sarbainun Lokman, 21, dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Negara, di sini hari ini.

Dalam majlis pada pukul 10.10 pagi itu, Aziz dengan hanya sekali lafaz selamat diijabkabulkan dengan Puteri Sarbainun atau mesra dengan panggilan Puteri Lily.

Majlis itu menjadi lebih bermakna apabila Puteri Lily dinikahkan sendiri oleh bapanya yang merupakan seorang penggiat teater terkenal, Lokman Ghani.

Ini merupakan perkahwinan ketiga buat Aziz dan yang pertama untuk Puteri Lily.

Pada majlis itu, Puteri Lily menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 dan wang hantaran berjumlah RM15,000 termasuk sebentuk cincin beserta tujuh dulang hantaran daripada pihak pengantin lelaki.

Pihak pengantin perempuan pula membalas dengan sembilan dulang yang merangkumi sebentuk cincin, sepersalinan baju Melayu beserta samping, minyak wangi, coklat, sirih junjung, buah-buahan dan senaskhah al-Quran.

Ketika ditemui selepas majlis berakhir, Aziz yang kelihatan tenang sewaktu melafazkan akad nikah memberitahu, dia bersyukur kerana apa yang dirancangkannya berjalan dengan lancar.

Apatah lagi, keluhuran dan kejujuran Puteri Lily menerima diri dan enam orang anaknya itu benar-benar membuatkannya yakin untuk berkahwin lagi.

"Memang sudah lama saya hidup menduda dan apabila membuat keputusan untuk berkahwin sekali lagi, saya mahu mencari keberkatan hidup.

"Selepas melalui liku-liku dalam perkahwinan sebelum ini, sudah pasti saya mengharapkan kali ini adalah yang terakhir," luah Aziz yang merupakan Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-15 menerusi filem Leftenan Adnan.

Biarpun ada segelintir pihak yang memperkatakan tentang perbezaan usia 27 tahun antara dia dan isterinya, Aziz langsung tidak melihatnya sebagai satu masalah besar.

Sementara itu, bagi Puteri Lily pula, dia sememangnya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu segera kepada enam orang anak Aziz.

Malah, Puteri Lily juga menyerahkan kepada rezeki seandainya dia dikurniakan dengan cahaya mata dalam waktu terdekat ini.

"Saya tiada masalah untuk mendampingi anak-anak tiri saya. Insya-Allah, saya akan menjadi isteri dan ibu yang terbaik untuk mereka," katanya.

Majlis pernikahan yang diadakan dalam suasana ringkas dan sederhana itu turut disaksikan ahli keluarga kedua-dua belah pihak termasuk ibu Aziz, Afida Es.

Majlis resepsi pasangan ini diadakan di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay di sini malam ini.

Bakal isteri Jimmy




SELAMA ini Papa hanya sering mendengar cerita mengenai pengacara terkenal, Jimmy Shanley bakal menamatkan zaman bujangnya.

Bagaimanapun, seingat Papa, tiada pula mana-mana media yang pernah menyiarkan foto bakal isteri pengacara muda dan tampan itu.

Khabarnya, Jimmy belum bersedia untuk mendedahkannya kepada umum kerana dia lebih senang membenarkan media merakamkannya pada majlis pertunangannya nanti.

Namun begitu, hujung minggu lalu, Papa dikejutkan dengan kehadiran sekeping kad yang disampaikan oleh seorang kenalan lama.

Sangkaan Papa kad berkenaan merupakan kad kahwin teman itu tadi, namun selepas dibuka sampulnya rupa-rupanya ia adalah kad pertunangan Jimmy.

Amboi tengok kad saja sudah cukup untuk membuatkan Papa menjangkakan majlis pertunangan yang akan berlangsung pada hari Jumaat ini di Sungai Buloh, Selangor tentunya meriah bukan.

Jimmy bakal mengikat tali pertunangan dengan Suhaila Eliani Datuk Suhaimy. Suhaila merupakan anak kepada seorang pengasas produk kecantikan yang popular.

Pasangan berkenaan difahamkan akan bernikah dan bersanding pada bulan Oktober depan dan Papa juga diberitahu, jurusolek ternama tanah air, Zulfazli Suhadi telah dipilih sebagai jurusolek untuk majlis persandingan itu.

Pilihan yang dibuat oleh Jimmy dan Suhaila memang tepat kerana tiada siapa yang boleh menyangkal sentuhan emas Zulfazli yang sudah menata rias wajah banyak muka termasuk golongan selebriti.

Doa Papa buat Jimmy dan Suhaila, semoga majlis pertunangan mereka akan berjalan lancar.